Saturday, September 01, 2012

UNIMAS Beli 15 Blok Rumah Berdekatan Vista Ilmu Untuk Tampung Pelajar


KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah membeli 15 blok rumah berdekatan Vista Ilmu, Samarahan bagi menampung jumlah pelajarnya yang semakin meningkat.

Timbalan Naib Canselor UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, blok yang bernilai RM38.4 juta itu berupaya menempatkan 3,000 pelajar bagi mengurangkan kesesakan di hostel kampus.

“Kita sedar jumlah pelajar yang mendaftar di UNIMAS semakin meningkat setiap tahun. Biasanya, kita menerima sekitar 1,000 hingga 2,000 pelajar pada setiap pengambilan.

“Namun, jumlah tersebut meningkat mendadak kepada 4,000 pada pengambilan terakhir. Jumlah hostel yang sedia ada di kampus tidak dapat menampung kemasukan besar pelajar,” ujarnya.

Ketika ini, UNIMAS mempunyai lapan blok hostel di kampus dan menempatkan kira-kira 8,000 pelajar.

Mohd Fadzil berkata demikian pada majlis pelancaran Ekspedisi Kembara Kayak UNIMAS Ke Pulau Satang di Telaga Air, semalam.

Menurutnya lagi, UNIMAS sentiasa mementingkan keselesaan para pelajar dan mengambil berat terhadap beban yang ditanggung oleh mereka.

“Saya difahamkan jumlah sewa rumah di sekitar Samarahan semakin meningkat dan ini membebankan para pelajar,” katanya.

Beliau berkata, perumahan yang dinamakan ‘Raflesia’ itu masih diubah suai dan dijangka siap pada penghujung tahun.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata UNIMAS akan terus memberi pendidikan yang berkualiti kepada pelajarnya dari semasa ke semasa.

Jelasnya, ia perlu bagi mengekalkan reputasi serta imej UNIMAS selaku antara 157 universiti terbaik di rantau Asia.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...