Wednesday, October 17, 2012

20,000 Pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Nikmati Kenaikan Elaun Tahun 2013

PELAJAR CEMERLANG: Liow bergambar bersama graduan-graduan terbaik Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) pada Majlis Konvokesyen ILKKM di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di Ipoh, semalam.

IPOH: Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikmati kenaikan elaun antara 60 dan 88 peratus mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelatih peringkat sijil akan menerima RM835 sebulan berbanding RM517 sekarang, manakala pelatih peringkat diploma pula menerima RM1,166.58 berbanding RM621.21.

Kenaikan kadar elaun itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung pelatih, katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan, di sini semalam.

Selain itu kata Liow, kementerian juga akan mewujudkan 12,000 jawatan baharu jururawat bagi tempoh 2012 hingga 2015 untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan selain menampung keperluan klinik dan hospital baharu.

Katanya, sebanyak 60,000 jururawat sedang berkhidmat dengan kementerian itu sekarang.

Beliau berkata, kementerian juga mengalu-alukan lebih banyak penyertaan kaum bukan bumiputera dalam perkhidmatan kejururawatan sektor awam.

“Kita berharap jumlah itu akan terus meningkat supaya kadar ideal jururawat kepada penduduk di negara dapat dicapai. Ada program khusus di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk menarik minat golongan bukan bumiputera sertai sektor awam,” katanya.

Liow berkata pada masa sekarang hanya kira-kira 20 peratus bukan bumiputera berkhidmat sebagai jururawat dalam Kementerian Kesihatan dan kadar ideal ialah seorang jururawat bagi 200 penduduk, berbanding 300 orang sekarang.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan buku mewah Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia yang memuatkan sejarah 50 tahun perjalanannya dalam melahirkan ribuan anggota Sains Kesihatan Bersekutu, sejak penubuhan Kolej Latihan Jururawat yang pertama pada 1947 di Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Sebanyak 9,361 penuntut dari 33 intitusi latihan kementerian itu menerima sijil dan diploma masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung selama empat hari sejak Sabtu lepas. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...