Monday, October 08, 2012

30% Pelajar Terbaik SPM Akan Ditawar Kursus Perguruan Mulai 2013

  NR       Monday, October 08, 2012

BATU PAHAT - Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan terbaik.
   
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
   
Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus itu.
   
Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik.

Sebelum itu, Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Baru Pahat, menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan penyampaian cek baikpulih rumah nelayan peringkat Parlimen Batu Pahat di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Suloh di sini.
   
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membantu membaiki 155 buah rumah dari enam kampung nelayan di daerah itu. - Bernama
logoblog

Thanks for reading 30% Pelajar Terbaik SPM Akan Ditawar Kursus Perguruan Mulai 2013

Previous
« Prev Post

No comments: