Sunday, October 14, 2012

Bapa Kesal Anak Dihalang Duduki PMR

  NR       Sunday, October 14, 2012

Rodzi Hassan

MANJUNG - Bapa kepada seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dihalang menduduki peperiksaan berkenaan kesal kerana pihak sekolah memberi alasan anaknya telah dibuang sekolah.

Rodzi Hassan, 47, berkata, dia rasa hairan apabila mendapati anaknya tidak ke sekolah seperti rakan-rakannya yang lain untuk menduduki peperiksaan itu.

"Saya ada bertanyakannya tentang perkara itu dan dia memberitahu, guru kelasnya tidak membenarkan pelajar yang telah dibuang  sekolah untuk menduduki  peperiksaan berkenaan.

“Alasan yang diberikan memang tidak masuk akal dan saya rasa hairan sehingga kini mengapa pihak sekolah tidak memberikan sebarang surat berkenaan anak saya yang telah dibuang sekolah,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini pihak sekolah telah memberi amaran sebanyak dua kali kepada anaknya kerana didapati sering ponteng sekolah.

“Amaran pertama diberikan dengan merotan anak saya dan amaran kedua, saya dipanggil ke sekolah.

“Saya sedia menerima sekiranya anak saya dihukum kerana masalah berkenaan tetapi mengapa dia dihalang daripada menduduki PMR.

“Peperiksaan itu penting bagi menentukan masa depannya dan saya amat berharap supaya pihak sekolah atau pihak berkaitan membenarkannya menduduki PMR selepas ini,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Manjung, Muhd Suod Mat Thani ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara berkenaan.

“Perkara ini di luar pengetahuan saya dan saya akan menghubungi pihak sekolah bagi mengetahui kejadian sebenar,” katanya.

Dia menambah, walaupun seseorang pelajar itu telah dibuang sekolah, dia masih boleh menduduki PMR  seperti biasa.

“Walaupun dia tidak menduduki PMR sekalipun dia tetap boleh naik ke tingkatan empat jika dia masih mahu meneruskan persekolahannya.

“Cuma dia tidak dapat mengikuti kelas aliran sains ataupun bertukar ke sekolah berasrama penuh kerana tidak ada PMR,” katanya.

- SH 
logoblog

Thanks for reading Bapa Kesal Anak Dihalang Duduki PMR

Previous
« Prev Post

No comments: