Wednesday, October 17, 2012

Gabungan Global Antara STU, Majlis Guru & Pendidikan Antarabangsa ASEAN Majukan Perguruan

KUCHING: Gabungan global antara Kesatuan Guru Sarawak (STU) dengan Majlis Guru dan Pendidikan Antarabangsa ASEAN dilihat bukan sahaja menyumbang kepada sektor pelancongan tetapi juga membantu dalam memajukan profesion perguruan negeri ini.

Perkara itu dinyatakan Presiden STU William Ghani Bina sambil menyifatkan peranan dan kepentingan STU tidak hanya terhad kepada negeri ini tetapi juga menjangkau ke seluruh negara.

“Gabungan global ini boleh membantu mempromosikan Sarawak sebagai negeri yang pelbagai tradisi dan menarik pelancong ke negara ini.

“Di samping itu, ia juga membantu STU menimba pengalaman baharu dan pengetahuan tambahan dalam memajukan profesion perguruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skim Tambahan Pelindung Kemalangan Diamond di sini, malam kelmarin.

Berhubung skim baharu tersebut, beliau berkata ia jauh lebih murah daripada pelbagai skim peribadi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans lain.

Katanya kadar maksimum yang dikenakan bagi skim insurans tersebut ialah hanya RM21 sebulan.

Sementara, Ghani berkata STU merupakan kesatuan yang mempunyai ahli bukan sahaja dari bandar tetapi juga dari kawasan pedalaman di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya STU mempunyai peranan yang sangat penting termasuk dalam menghubungkan kerajaan dengan masyarakat luar bandar.

“Sebab itu, ada kalanya STU mengemukakan isu-isu penting seperti membina jalan raya baharu, perpustakaan desa dan tambahan sekolah bagi penduduk luar bandar.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...