Thursday, October 11, 2012

Mahkamah Tolak Rayuan Terakhir, Graduan Bunuh Kekasih Kekal Hukuman Gantung

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang graduan ekonomi kerana membunuh bekas kekasihnya, Norzi Ayu Mohd Noor, lapan tahun lepas.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan terakhir Irawadi Mohammad supaya hukuman mati dan sabitannya dibatalkan.

Panel tersebut turut disertai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.

Mahkamah menolak permohonan Irawadi atas alasan bahawa tiada wujud salah laksana keadilan terhadap keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Pada 11 November 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Irawadi, 30, graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas didapati bersalah membunuh Norzi Ayu.

Irawadi dari Pasir Mas, Kelantan didapati melakukan pembunuhan tersebut di No. 2-1-6, Blok ST2, Apartmen Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini, antara 3.30 petang dan 5 petang, 26 Julai 2004.

Irawadi diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache. - BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

strict sgtla hakim hakim ni,bgla peluang kat pesalah ni,siapa yang tak pernah buat salah dalam hidup lagipun beliau masih muda pada masa kejadian.kalau kes VIP,anak VIP,artis ke boleh pula lepas...hmm dunia oh dunia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...