Wednesday, October 17, 2012

Majlis Perasmian GiatMara Pasir Gudang


Mohamed Khaled (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang keseluruhan Pertandingan Inovasi GiatMara 2012.

PASIR GUDANG - GiatMara memainkan  peranan menyumbang kepada tenaga kerja negara memandangkan seramai 300,000 tenaga kerja mahir telah dikeluarkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, GiatMara banyak menyediakan program atau kursus yang selari dengan keperluan pasaran  kerja semasa.

Menurutnya, pelbagai kursus pendek yang disediakan, menawarkan peluang pembelajaran kepada pelajar khususnya yang tidak berpeluang menyambung  pengajian ke universiti.

“Tidak semua pelajar dapat menyambung pelajaran ke universiti dan politeknik, namun kerajaan mewujudkan pelbagai peluang untuk mereka yang tercicir selepas persekolahan supaya sama-sama menerima manfaat pembangunan.

“Ramai anak muda memasuki pasaran kerja tanpa kemahiran. Peranan GiatMara menyediakan program relevan dengan keperluan semasa negara seperti pembangunan Iskandar Malaysia dan projek minyak dan gas di Pengerang,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian GiatMara Pasir Gudang dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi GiatMara 2012, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad; Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Shahiruddin Ab Moin; Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meryam Majid dan Pengurus Besar GiatMara Johor, Khairuddin Hashim.

Ditanya perkembangan status hak milik tanah di 10 perkampungan  setinggan Pasir Gudang, Mohamed Khaled berkata, terdapat dua kampung yang  telah diluluskan pemberian notis 5A dalam masa terdekat.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, kampung setinggan selebihnya dalam Parlimen ini masih dipertimbangkan Kerajaan Negeri.

“Seramai 34 penduduk dari Kampung Baru Masai dan 52 dari Kampung Sepakat bakal menerima notis 5A yang dijangkakan akan diserahkan pada akhir bulan ini.

“Kita minta penduduk dari perkampungan setinggan yang lain bersabar kerana ada yang masih dipertimbangkan Kerajaan Negeri,” katanya.

SH, 15 Oktober

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...