Tuesday, October 30, 2012

NKRA: Sarawak Rancang Buka 58 Tabika KEMAS Tahun 2013


KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak merancang membuka 58 Tabika KEMAS tahun depan di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Penolong Pengarah KEMAS Negeri Joseph Usun berkata pembukaan lebih banyak Tabika KEMAS adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat khasnya kanak-kanak menikmati pendidikan awal.

Justeru beliau berharap semua ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka yang layak ke Tabika KEMAS untuk mengikuti pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Mini Kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen 196 Stampin  di Dewan DBNA di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosey berkata pendidikan awal kanak-kanak merupakan platform kepada masa depan negara yang cemerlang.

Justeru, beliau menggesa agar platform ini diperkukuhkan demi masa depan anak-anak, keluarga, negeri dan negara.

“Pendidikan awal kanak-kanak sangat kritikal dan penting di mana anak-anak di peringkat ini merupakan masa depan kepada kita semua,” katanya.

Jelas Rosey, di peringkat kementerian akan diperkenalkan garis panduan taman asuhan yang menekankan lima dimensi penting iaitu fizikal bangunan, program pembelajaran, kebersihan dan keselamatan, personal serta pengurusan yang baik.

“Dengan adanya garis panduan ini, kementerian yakin semua taman asuhan dan tabika yang berdaftar adalah mengikut standard yang ditetapkan.

“Ibu bapa hanya perlu yakin dengan taska dan tabika yang didaftarkan di bawah kementerian dan memberikan kepercayaan kepada tenaga pengajar,” katanya.

Sementara itu seramai 350 kanak-kanak melibatkan 25 tabika dan taska di kawasan Parlimen Stampin diraikan atas kejayaan menamatkan pembelajaran di peringkat awal sebelum memasuki alam persekolahan sebenar tahun depan.

Selain acara tahunan wajib bagi menyampaikan sijil penyertaan kepada kanak-kanak yang berumur lima dan enam tahun yang telah berjaya menamatkan pendidikan awal, majlis itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota KEMAS dengan pemimpin tempatan serta ibu bapa.

Majlis penting itu semalam turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kanak-kanak Tabika KEMAS Kem Penrissen diikuti dengan persembahan pidato dan bercerita.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Lo Khere Chiang serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Sih Hua Tong.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...