Sunday, October 14, 2012

PDRM Masuk IPT Cari Graduan Isi Kekosongan 1,000 Jawatan Inspektor

Ismail bersalaman dengan anggota Kor Suksis IPTA pada program Polis Diraja Malaysia dan penuntut IPT di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, semalam.

Sasar majlis konvokesyen tarik siswazah sertai PDRM

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turun padang ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara bagi merekrut pegawai baru, dengan mensasarkan majlis konvokesyen untuk menarik minat siswazah menyertai pasukan itu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata menerusi langkah itu, pihaknya berharap dapat mengisi 1,000 jawatan berpangkat inspektor. 

Katanya, sebagai permulaan PDRM akan turun padang ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sebelum diperluaskan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi mengisi jawatan yang memerlukan kepakaran dan kemahiran skil tertentu.

Terus jalani latihan

“Graduan universiti yang berminat menyertai PDRM akan diserap terus ke dalam latihan sejurus tamat pengajian dan menepati segala kelayakan ditetapkan.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis PDRM dan Mahasiswa IPTA Bersatu Memerangi Jenayah yang turut dihadiri 192 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ismail berkata, peluang pengambilan baru itu dibuka sejajar hasrat kerajaan menambah 4,000 lagi perjawatan dalam PDRM yang diumumkan dalam Bajet 2013, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 28 September lalu. 

Beliau berkata, graduan aktif dalam Kor Suksis di peringkat universiti mempunyai kelebihan mengisi jawatan ditawarkan, namun ia bukan satu kemestian.

“Menganggotai Kor Suksis adalah nilai tambah kepada ilmu dan kemahiran mereka pelajari ketika di universiti, ia juga sebagai pendedahan mengenai tugas kepolisan. 

“Justeru, kita amat berharap skop Kor Suksis diperluaskan di seluruh IPTA dan IPTS dengan bantuan kontinjen polis di setiap negeri,” katanya.

Beliau menambah, pengambilan baru anggota dan pegawai polis terbuka kepada semua, dengan sasaran menambah keanggotaan wanita daripada 10 peratus sekarang kepada 15 peratus.

Di KUCHING, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene, berkata PDRM akan merekrut 10,000 anggota tambahan sukarelawan polis yang dijadual memulakan tugas sebelum sambutan Krismas, Disember depan. 

Katanya, pengambilan segera itu dibuka mulai esok di ibu pejabat polis daerah di seluruh negara bagi meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan di tempat awam serta memberi imej positif kepada persepsi rakyat.

- BH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...