Wednesday, October 10, 2012

Pejabat Residen Bintulu Bakal Wujud Sistem Daftar Graduan Lepasan IPT Bantu Anak Jati Dapat Kerja

  NR       Wednesday, October 10, 2012
TAHNIAH: Muhamad (berdiri di tengah barisan kedua hadapan) bersama para graduan Kolej Sedamai pada konvokesyen ketujuh di Bintulu kelmarin.

BINTULU: Pejabat Residen Bahagian Bintulu bakal mewujudkan satu sistem bagi mendaftarkan semua graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) anak jati Bintulu bagi memudahkan mereka memperoleh pekerjaan sesuai dalam bidang atau jurusan masing-masing.

Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakub Kari berkata pengwujudan sistem itu perlu bagi memastikan nasib graduan dari Bintulu terjamin dan merupakan cara terbaik bagi menyenangkan mereka mendapatkan pekerjaan tanpa perlu lama menganggur.

Katanya dengan sistem itu secara tidak langsung akan membantu graduan IPT di sini mendapatkan maklumat berkaitan kekosongan yang ditawarkan di pasaran kerja tempatan khususnya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sudah bermula.

“SCORE merupakan projek mega kerajaan negeri bagi membangunkan wilayah tengah dan memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang perindustrian, kejuruteraan dan sebagainya.

“Dengan adanya sistem itu, ia dapat memudahkan pengesanan graduan berkelayakan bagi mengisi jawatan yang ditawarkan,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen Ketujuh Kolej Sedamai Bintulu di sini malam Ahad lalu.

Hadir sama Pemangku Pembantu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Pulusagi Tran dan Pengerusi Kolej Sedamai Bintulu Billy Wong.

Beliau menjelaskan bahawa melalui senarai graduan yang berdaftar dalam sistem itu, pihaknya menghantar senarai graduan terbabit kepada majikan berkaitan bagi melihat peluang kerja yang sesuai dengan kelayakan dimiliki mereka.

Muhamad berkata, pihaknya dan majikan berkaitan akan mengambil tindakan selanjutnya bagi membantu graduan yang layak mengisi jawatan diperlukan oleh sesebuah majikan itu.

“Bintulu sebagai sebuah bandar perindustrian yang pesat membangun, justeru kita menggesa para graduan di sini agar merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa sekarang.

“Sekarang merupakan masa tepat bagi graduan terutama yang menetap di sini bagi merebut peluang kerja di SCORE, kerana selain melihat kelayakan yang dimiliki para majikan sememangnya digalakkan mengambil rakyat tempatan bekerja di Taman Perindustrian Samalaju di sini,” katanya.

Muhamad turut melahirkan rasa bangga dan memuji sikap tenaga pengajar dan kakitangan Kolej Sedamai yang komited dalam mendidik pelajarnya hingga mengecapi kejayaan dalam pengajian mereka.

Jelas beliau, pihak kolej harus memberikan bantuan serta panduan kepada setiap pelajar bergraduasi bagi memastikan mereka memperolehi pekerjaan yang baik pada masa hadapan.

Kolej Sedamai Bintulu ditubuhkan pada November 1999 dan akan menyambut ulang tahun ke-13 penubuhannya pada Disember akan datang.

Pada konvokesyen itu, seramai 42 pelajar dalam pelbagai bidang telah menerima skrol diploma masing-masing daripada Kolej Sedamai.

Sementara Jaleha Bol memperolehi Diploma Pengurusan Perniagaaan telah menerima Anugerah Dekan manakala pelajar terbaik bagi setiap kursus bagi Diploma Pengurusan dianugerahkan kepada Sim Hui Cheng, Diploma Pengurusan Perniagaan (Mary Miku), Diploma Pemasaran (Fateah Nazierah Rahmalam) dan Diploma Perakaunan (Sii Peck Sieng).

- Utusan Borneo
logoblog

Thanks for reading Pejabat Residen Bintulu Bakal Wujud Sistem Daftar Graduan Lepasan IPT Bantu Anak Jati Dapat Kerja

Previous
« Prev Post

No comments: