Sunday, October 14, 2012

Pelajar SPM Antara Dua Didakwa Rompak DJ Radio Best 104

MUHAMAT ARAFI (depan) dan seorang remaja berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan antara dua lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas tuduhan merompak seorang juruhebah radio Best 104, bulan lepas.

Pelajar berusia 17 tahun itu dan Muhamat Arafi Amin Wong, 21, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dibacakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.

Pelajar dari Saleng, Kulaijaya itu dan Muhamat Arafi dari Senai bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa merompak Julie Diana Omar Shariff, 34, dengan menggunakan pisau di No. 53, Jalan Kasim Nor, Kampung Sungai Danga, Taman Perling, pada 1 pagi, 29 September lalu.

Mereka didakwa merampas dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang anting-anting, wang tunai RM6,000, kad ATM, kad pengenalan dan telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan pelajar itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Muhamat Arafi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...