Wednesday, October 17, 2012

Rumah Dipecah Masuk, Pegawai Universiti Kerugian RM20,000


KUCHING: Seorang pegawai di sebuah universiti awam tempatan mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila kediamannya di Jalan Demak Jaya, Petra Jaya di sini dipecah masuk ketika mereka sekeluarga nyenyak tidur.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi apabila anak sulungnya, yang berusia 14 tahun terdengar penggera keselamatan berbunyi sekejap sebelum dimatikan semula.

Ketika kejadian yang berlaku di bilik tidur utama tersebut, mangsa yang enggan didedahkan namanya sedang tidur di tingkat bawah bersama isteri dan anak bongsunya yang berusia 13 tahun selepas menonton televisyen.

Perkara itu hanya disedari sekitar jam 5.30 pagi setelah sembahyang subuh apabila mangsa naik ke tingkat atas bilik utama dan mendapati ia dalam keadaan berselerak.

Manakala bahagian lain di rumah itu kelihatan tidak disentuh.

Pencuri dipercayai masuk dengan memotong pagar dawai di belakang rumah dan melalui pintu belakang.

Antara barangan yang didapati hilang adalah komputer riba, iPad, iPhone, barang kemas termasuk berlian, koleksi jam-jam tangan, kasut dan pakaian-pakaian baharu dan wang tunai, termasuk mata wang asing.

Pencuri tersebut juga dipercayai cuba melarikan motosikal mangsa, berdasarkan kunci yang ditemui di motosikal berkenaan.

Isteri mangsa yang masih terkejut dengan insiden itu memberitahu, dia masih tidak menyangka ia berlaku memandangkan pengawal keselamatan sering melakukan rondaan.

Bagaimanapun, dia melahirkan kesyukuran kerana mereka sekeluarga tidak dicederakan.

“Kami amat risau kerana anak sulung kami tidur di tingkat atas tetapi syukur dia selamat kerana jika hanya barang-barang yang hilang, kita masih boleh bekerja untuk membelinya semula,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...