Saturday, October 20, 2012

STU Cadang Lebih Ramai Kaum Pribumi Sarawak Diberi Peluang Ceburi Profesion Perguruan



KUCHING, 18 Okt (Bernama) -- Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan agar lebih banyak kaum pribumi Sarawak, termasuk daripada minoriti Penan, diberi peluang menerima latihan dan menceburi profesion perguruan.

Presidennya, William Ghani Bina berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang akan dilaksanakan pada tahun depan, dilihat sebagai platform terbaik bagi memulakan usaha tersebut.

"Lebih ramai orang tempatan jadi guru lebih baik dan secara tidak langsung sebagai guru, mereka mampu tunjuk kelebihan pendidikan kepada kaum mereka sendiri kerana lebih memahami situasi semasa di kawasan yang ditugaskan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ketika ini, Kementerian Pelajaran sedang memperjelaskan kepada masyarakat mengenai usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan itu dimuktamadkan pada Disember ini.

Ghani berkata peluang sebagai guru perlu dibuka kepada penduduk luar bandar seperti kaum Penan dan suku kaum Dayak yang lain di Sarawak kerana mereka lebih memahami keadaan setempat selain memberi nafas baru kepada sektor pendidikan luar bandar, khasnya di Sarawak.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...