Thursday, October 18, 2012

Tak diskriminasi guru lembut


Arau: Kementerian Pelajaran tidak bercadang menyekat peluang lelaki berperwatakan lembut menceburi bidang perguruan walaupun ia komited memerangi gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tidak ada sebab untuk kementerian tidak mengambil golongan itu menjadi guru jika mereka berkelayakan dan berkualiti untuk menjadi seorang pendidik. 

“Kementerian tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasi guru berperwatakan lembut, tetapi jika mereka melakukan aktiviti menyalahi etika perguruan dan memberi pengaruh tidak baik kepada pelajar seperti menyertai ratu pondan, maka kita akan ambil tindakan. 

“Bagaimanapun, tindakan itu bukan bermaksud terus dipecat, sebaliknya termasuk kaunseling dan amaran, manakala bagi kes mahkamah kita akan biarkan mahkamah yang tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Kolej Matrikulasi Arau, di sini, semalam.

Tidak wujud ‘mesej berbahaya’

Mohd Puad berkata, dalam usaha kementerian memerangi isu LGBT, tidak wujud ‘mesej berbahaya’ seperti didakwa golongan terbabit termasuk diskriminasi atau menimbulkan kebencian terhadap kumpulan berkenaan.

“Malah, dua minggu lalu saya didatangi seorang guru lelaki yang meminta bantuan selepas dia digantung tugas kerana didakwa merangsang seks pelajar lelaki di sekolahnya dan kes berkenaan sudah pun dibawa ke mahkamah.

“Walaupun mengakui berasa marah dengan keberanian guru itu yang sanggup berjumpa saya sebagai seorang Timbalan Menteri Pelajaran untuk mengadu hal seperti itu, kita perlu terima hakikat sudah tiba masanya isu LGBT ini dibincang secara serius, terbuka dan tidak dianggap sebagai ‘taboo’ (larangan),” katanya. 

Tetap pandang serius

Mohd Puad berkata, walaupun isu LGBT bukan sesuatu yang signifikan dan besar membabitkan kumpulan guru, kementerian tetap memandang serius usaha menyekat pengaruh ini dalam kalangan pendidik supaya ia tidak menular kepada pelajar.

“Tidak timbul soal kebencian, diskriminasi dan marah terhadap golongan ini apabila menyentuh isu memerangi LGBT dan tanggapan itu perlu diperbetulkan. 

Maka sebab itu jika ia berlaku dalam kalangan guru sekolah, kementerian berharap mereka diberikan kaunseling, motivasi dan kesedaran untuk membimbing golongan ini ke jalan yang betul dan bukan terus dipecat,” katanya.

- BH, 10-10-2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...