Sunday, October 21, 2012

Tubuh Majlis Guru Untuk Martabat Profesion Perguruan

  Pengajar.Info       Sunday, October 21, 2012
KUCHING: Majlis Guru perlu ditubuhkan untuk terus memartabatkan profesion perguruan selain mewujudkan satu perubahan penting dalam institusi pendidikan.

Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah yang mencadangkan perkara itu berkata, ia merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan Kementerian Pelajaran sebelum pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

“Dalam laporan awal pelan, kita menyaksikan ada 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan kita, namun kita tidak mahu ia sekadar penambahbaikan kepada yang sedia ada.

“Kalau boleh, ia harus menjadi anjakan yang akan menjadi paksi kepada perubahan besar dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Supaat Tamin berhubung Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) di Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.

Menurut Adi Badiozaman, untuk itu Kementerian Pelajaran seharusnya perlu lebih berani untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain isu berkenaan, beliau turut mencadangkan agar sekolah berasaskan pengurusan dan pembangunan kurikulum turut ditekankan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pengambilan guru lebih menumpukan kepada 70 peratus guru tempatan setiap tahun.

“Kita juga memohon agar pendidikan dirakyatkan, maknanya setiap guru besar atau pengetua sesebuah sekolah berasaskan majoriti penduduk sekolah berkenaan.

“Misalnya, kalau sekolah berkenaan terletak di kawasan yang majoritinya Melayu, maka pengetua atau guru besar dan penolongnya Melayu, begitu juga sebaliknya,” katanya.

- Utusan Borneo
logoblog

Thanks for reading Tubuh Majlis Guru Untuk Martabat Profesion Perguruan

Previous
« Prev Post

No comments: