Saturday, November 03, 2012

4 Maut nahas Kereta Dipandu Pelajar 14 Tahun


Bapa kepada seorang mangsa kemalangan maut membabitkan 4 orang di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Hellmi Othman tidak dapat menahan kesedihan di bilik mayat Hospital Jasin.

Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain menyebabkan empat terbunuh di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Jasin malam tadi.

JASIN - Tindakan pelajar tingkatan dua yang memandu kereta bapanya mengundang padah selepas keretanya merempuh sebuah kereta lain dan menyebabkan dirinya dan tiga yang lain maut dalam nahas jalan raya di kilometer 38.5 Jalan Air Panas-Kesang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata mereka yang maut dalam kejadian 11.15 malam itu ialah pelajar itu, Mohd Hafiz Helmi, 14; pemandu sebuah lagi kereta Mohd Shahir Mat Sahat, 27, serta dua penumpangnya, Hairul Nizam Alias, 34 dan Mohammad Izzuddin Usop, 21.

Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu Mohd Shahir yang datang dari arah Kesang ke Air Panas.

Mohd Shahir dan Mohd Hafiz yang masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Hairul Nizam dan Mohammad Izzuddin meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin, katanya dan menurutnya kesemua mayat dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.
  
Katanya tindakan boleh diambil terhadap pemilik kereta yang mengizinkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaannya.

Sementara itu, kakak Mohd Shahir, Nur Shahirah, 32, berkata arwah merancang berkahwin dengan tunangnya pada Jun tahun depan.

Ketika kejadian adiknya itu membawa kereta milik suaminya, katanya ketika ditemui di hospital itu.

Ibu Hairul Nizam, Noriah Md Dim, 62, berkata dia amat terkejut dengan kejadian menimpa anak ketiga dari lima beradik itu bagaimanapun reda dengan ketentuan tersebut.   

"Selalunya makcik baca berita kemalangan menimpa nasib keluarga orang lain tetapi hari ini berlaku kepada makcik," katanya dengan nada sayu dan menurutnya anaknya itu bekerja sebagai pemandu pelancong. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...