Saturday, November 10, 2012

Hafiz Bakal Gegar Unimas Sempena Kejohanan Antarabangsa Malaysia Maybank

KUCHING: Lebih 200 orang pemain badminton dari 15 buah negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Antarabangsa Malaysia Maybank yang bakal berlangsung di Kampus Barat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan pada 13 hingga 18 November ini.

Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, “biarpun hanya kejohanan peringkat keempat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun kejohanan itu mampu menarik minat pemain-pemain ranking dunia dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Vietnam, India, Rusia, Taiwan dan Kazakhstan.”

Katanya, Malaysia diwakili pemain kebangsaan – Muhammad Hafiz Hashim yang menduduki ranking ke-40 dan bakal mengetuai cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki.

“Pemain-pemain lain ialah Mohamad Arif Abdul Latif (ranking ke-46), juara perseorangan remaja lelaki dunia 2011, Zulfadli Zulkifi (68), johan Terbuka Pahang, Misbun Ramdan Mohmed Misbun (75), pemain veteran Kuan Beng Hong (176) dan Wong Choon Hann (219).

“Sementara, Indonesia juga tidak ketinggalan membariskan pemain-pemain hebat seperti Wisnu Yuli Prasetyo (105), Dharma Alrie Gune (130), Riyanto Subagia (144), Sukamata Evet (164) dan Adi Pratama (226),” katanya di sini semalam.
Menurut Abdul Hadi, pemain dari negara jiran Singapura turut mengibarkan cabaran dengan menampilkan Ashtor Chen Yong Zhao yang juga pilihan ketiga kejohanan.

Sementara itu, Sannatasah Saniru (66), Lydia Cheah Li Ya (67) dan Sonia Cheah Su Ya (82) bakal menggalas cabaran negara itu dalam perseorangan wanita.

Chen Jiayuan (95) dari Singapura tidak ketinggalan sambil dicabar oleh pemain dari Indonesia Yeni Asmarani (134) dan Maziyyah Nadhir (136).

“Saingan beregu pula bakal menyaksikan penampilan beregu terbaik dari Indonesia yang berada di ranking ke-86 iaitu Ronald Alexander dan Selvanus Geh.

“Beregu sepasukan Ase Yusuf dan Wahyu Nayaka Arya Pankaryanira (106) turut mengambil bahagian manakala Brunei membariskan pasangan, Heri Setiawan dan Al-Sayed Jafar Ebrahim Jafar (105),” katanya.
Pasangan Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan (59) dan Soong Fie Cho-Amelia Alicia Anscelly (70) menjadi pilihan negara bagi beregu wanita manakala Indonesia akan menurunkan Shella Devi Aulia dan Anggia Shitta Awada (76).

Beregu campuran negara, Lai Pei Jing dan Tan Aik Guan (37) bakal menghadapi saingan sengit untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi.

Mereka akan dicabar oleh pasangan dari Singapura Thng Ting Ting-Liu Yi (61) dan Annisa Saufika-Lukhi Apri Nugroho (97) dari Indonesia.

“Kejohanan berprestij selama enam hari itu dianjurkan bersama SBA dan UNIMAS. Ia mempertaruhkan hadiah keseluruhan berjumlah RM46,500 (US$15,000) dan ditaja oleh Maybank, Proton, 100Plus, Yonex, Maxis, Jati and Phiten,” kata Abdul Hadi.

Tiket boleh didapati sekarang dengan harga RM10 bagi pusingan awal dan kelayakan (13-15 November), RM20 untuk pusingan suku akhir (16 November), RM30 untuk separuh akhir (17 November) dan RM40 untuk final pada 18 November.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi SBA (082-579598), Abdul Hadi (016-8644101), Soh Theng Chai (019-8166268) dan Bong Nyat Nee (016-8938962).

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...