Saturday, November 03, 2012

RM400,000 untuk baiki kerosakan SK Agama MIS


MIRI: SK Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) memerlukan RM400,000 untuk memperbaiki kerosakan khasnya bahagian atap dewan sekolah yang diterbangkan angin akibat ribut pada petang Selasa lalu.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting berkata laporan kerosakan yang dialami sekolah khas itu akan dikemukakan kepada mesyuarat kabinet kerajaan pusat pada semalam.

Laporan dikemukakan oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin.

“Beliau (Chin) akan memohon peruntukan di bawah tabung bencana alam untuk membolehkan pihak sekolah memperbaiki kerosakan yang dialami,” jelas Ting kepada media kelmarin.

Ting turut memberitahu, laporan juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ting yang juga pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau memberitahu telah menerima lebih 40 aduan kerosakan rumah di sekitar kawasan Kampung Pujut Tanjong Batu.

Katanya parti akan sedaya upaya membantu mangsa bagi mengurangkan beban mereka memperbaiki kerosakan yang dialami.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri Goh Yong Kiet dan Ketua Kaum Kampung Pujut Tanjong Batu Usman Sulaiman.

- Ub 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...