Thursday, December 27, 2012

Hantar Guru-Guru BI Tempatan Berkursus di Luar Negara - KGBS

KUCHING: Menghantar guru Bahasa Inggeris (BI) tempatan berkursus di luar negara disifatkan lebih memberi manfaat di samping memantapkan kursus pengajian BI di institusi-institusi berkaitan.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, ia adalah penyelesaian jangka panjang yang terbaik berbanding menggunakan khidmat guru BI dari luar negara.

Menurutnya, dengan cara demikian pasti akan memberi ruang lebih luas di samping dapat menjimatkan kos ‘mengimport’ guru BI dari luar.

“KGBS menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar tidak terlalu bergantung kepada khidmat guru-guru dari luar negara.

“Walaupun dari segi akademik adalah baik namun kita khuatir sedikit sebanyak akan mempengaruhi budaya dan cara hidup masyarakat setempat di samping meningkatkan kos negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Ahmad berkata, pada dasarnya KGBS bersetuju dengan langkah kerajaan menggunakan khidmat guru BI dari India untuk bertugas di sini, yang merupakan langkah secara sementara sahaja untuk membantu menangani kekurangan guru BI pada masa kini.

Jelas beliau, jika diimbas semula senario pada masa lalu, kerajaan pernah ‘mengimport’ guru Matematik dan Sains dari Indonesia untuk mengatasi kekurangan guru berkenaan pada masa itu.

“Sementara itu bagi guru BI dari India nanti, KGBS harap mereka ini akan ditempatkan di sekolah-sekolah yang amat memerlukan khususnya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman,” katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru BI dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari baru-baru ini, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.

Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...