Thursday, December 27, 2012

USM Derma RM1 Sehari Potongan Gaji Kakitangan Bantu Pelajar Palestin

  NR       Thursday, December 27, 2012

Abdelaziz (tengah) menerima cenderahati daripada Dr Omar (kanan) ketika penyerahan Tabung Amanah Pendidikan pada persembahan di USM, semalam.

Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan kaedah menderma RM1 sehari menerusi potongan gaji kakitangannya untuk disalurkan kepada pelajar Palestin yang menuntut di universiti itu.

Kaedah menderma sedemikian menjadikan USM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang menyumbang secara tetap dan berstruktur kepada rakyat Palestin yang menderita akibat sekatan Israel.

Seramai 80 kakitangan USM bersetuju untuk memotong gaji mereka kira-kira RM20 sebulan dan disalurkan ke Tabung Amanah Pendidikan Palestin USM bagi membiayai pengajian pelajar Palestin.

Komited bantu Palestin

Naib Canselor USM, Prof Datuk Omar Osman, berkata pihaknya komited membantu rakyat Palestin yang sedang menuntut di USM dan menyedari kesempitan hidup yang dialami rakyat negara itu akibat penindasan rejim Zionis.

“Justeru, tabung amanah dan kaedah menderma seperti ini diwujudkan. Kita harap akan lebih ramai kakitangan USM bersedia untuk menyumbang kepada saudara kita di Palestin melalui pemotongan gaji hanya RM1 sehari.

“Selain itu, tabung amanah ini juga menerima sumbangan secara langsung daripada orang ramai termasuk pelajar dan setakat ini, ia berjaya mengumpul sebanyak RM700,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan baucar buku bernilai RM200 kepada 70 pelajar Palestin di USM dan cek bernilai RM5,000 daripada Koperasi USM Bhd kepada Tabung Amanah Pendidikan Palestin.

Hadir sama, Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush.

Dalam perkembangan sama, Omar berkata, pihaknya akan mengajukan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertimbangkan kadar yuran pelajar Palestin diselaraskan dengan kadar yuran pelajar tempatan.

Katanya, penyelarasan kadar yuran berkenaan dilihat sebagai inisiatif terbaik membantu rakyat Palestin meningkatkan taraf pendidikan, sekali gus melahirkan lebih ramai warga Palestin yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara itu.

“Mungkin kadar yuran berkenaan boleh dipertimbangkan walaupun bukan untuk tempoh masa panjang, sekurang-kurang boleh diberikan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya. 

Sumber: BH 27/12/2012
logoblog

Thanks for reading USM Derma RM1 Sehari Potongan Gaji Kakitangan Bantu Pelajar Palestin

Previous
« Prev Post

No comments: