Friday, August 31, 2012

Pelajar Gadis Tempatan & 3 Lelaki Warga Nigeria Tipu RM233,000 di Facebook Ditahan


MELAKA - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka berjaya menahan seorang pelajar, yang juga gadis tempatan dan tiga lelaki warga Nigeria, dipercayai terlibat kes penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM233,277 milik seorang wanita berusia 56 tahun di negeri ini.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, gadis berusia 23 tahun juga penuntut sebuah universiti tempatan itu ditahan jam 11.55 pagi pada 23 Ogos lalu di sebuah rumah sewa di ibu negara.

"Tiga warga Nigeria terbabit dua daripadanya berusia 27 dan seorang berusia 28 tahun pula berjaya diberkas pada jam 3.13 pagi, Isnin lalu di sebuah resort di sekitar Putrajaya.

"Mangsa diperdaya menerusi laman sosial Facebook dan berkomunikasi sejak Mei lalu yang mempercayai suspek adalah doktor dari luar negara," katanya.

Menurutnya, suspek memperdayakan wanita berkenaan, kononnya akan menghantar satu kiriman bungkusan mengandungi wang tunai berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) bagi menjalankan perniagaan tertentu.

“Mereka kemudiannya cuba membuat helah kononnya ada beberapa panggilan daripada lelaki lain yang mengatakan bungkusan berkenaan telah ditahan pihak kastam, Bank Negara dan sebagainya.

"Mereka seterusnya mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang bagi melepaskan bungkusan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Hock Sing berkata, pada 16 Jun lalu, suspek menyatakan mahu berjumpa dengan mangsa bagi menyerahkan duit tersebut di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Tetapi sebaik menemui suspek, mangsa terkejut kerana yang muncul adalah seorang awang hitam.

"Suspek kemudiannya membuka beg berkenaan dan menunjukkan duit tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya melihat kertas putih sahaja dalam beg tersebut sebelum diyakinkan oleh suspek, ia boleh bertukar menjadi ASD100 (RM312.342) selepas dicuci dengan sejenis cecair.

“Namun, suspek membuat helah menyatakan cecair berkenaan tidak mencukupi dan memerlukan mangsa menambah lagi wang tunai berjumlah RM10,000 untuk membelinya dan perlu dihantar ke kedutaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan wang berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek kembali semula ke Melaka untuk mendapatkan jumlah wang dikehendaki sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis pada 16 Ogos lalu.

“Bertindak atas laporan, polis berjaya menahan semua suspek dan menyemak akaun pelajar wanita terbabit. Kami dapati berlaku lima transaksi berjumlah keseluruhan RM233,227 yang telah diserahkan kepada warga Nigeria terbabit, dipercayai teman lelaki wanita berkenaan.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan mengakui sebagai pelajar, namun hanya seorang sahaja yang memiliki pasport,” katanya.

Berikutan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit yang mengandungi klip video lucah dipercayai digunakan sebagai perangsang bagi tujuan seks.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

Dalam perkembangan sama, Soh berkata, sepanjang tahun ini polis telah menahan seramai 20 orang termasuk lima wanita tempatan berkaitan jenayah berkenaan, membabitkan penipuan berjumlah lebih RM700,000.

- SH

Lelaki Didakwa Jual Ijazah Palsu USM Pada Harga RM540


GEOGETOWN - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.

Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut  pertuduhan, Chuan Soon itu didakwa menipu Tang Yong Peng, 23,  dengan mengambil RM540 sebagai bayaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari USM sedangkan sijil itu tidak sah laku.

Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya,  Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini  pada 25 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.

“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.

“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.

Sementara itu, difahamkan  Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.

SH

Lelaki Maut Ditembak Depan SMK Darul Ehsan


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati ditembak di Jalan 29 Selayang Baru berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, tengah hari semalam.

K Archuthan, 41, ditembak ketika menunggu anaknya yang berusia 17 tahun pulang dari sekolah berdekatan bersama isterinya, S Citra, 36, di dalam kereta miliknya jenis Toyota Camry.

Dipercayai mangsa yang mempunyai sebuah syarikat kawalan keselamatan maut akibat parah ditembak di beberapa bahagian badan dan leher.

Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5.

“Saya sangka ada orang bermain mercun tetapi tidak lama selepas itu, orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian setelah mendapati mangsa sebenarnya ditembak,” katanya.

Dipercayai, isteri mangsa turut terkena tembakan di rusuk kanan dan dibawa orang awam ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa ditembak dari jarak dekat dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.

Menurutnya, siasatan awal polis menemui enam kelongsong peluru saiz 9 milimeter di tempat kejadian.

“Mangsa baru dibebaskan daripada Enakmen Ordinan (EO) dan dibuang ke Perlis sebelum ini. Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan usaha mencari suspek sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

- SH

Thursday, August 23, 2012

Pelajar SMK Sg Maong Terselamat Diserang Buaya Ketika Mandi di Pantai Pasir Panjang

SAKIT...Ashley Austin dirawat di HUS menunjukkan kesan luka di kaki dan betis, semalam.

KUCHING: “Mulanya, saya menyangka rakan bergurau dengan menarik paha, namun sebaik menoleh, saya melihat mereka berdiri agak jauh daripada saya.

“Saya kemudian mengesyaki ada yang tak kena lalu terus meraba lalu terkejut apabila merasai sesuatu benda berkulit keras menggigit kedua-dua paha saya,” kata Ashley Austin Chin, 14, yang terselamat biarpun dibaham buaya air masin di pantai Pasir Pandak, dekat sini, pagi semalam.

Berikutan itu, katanya, dia memberanikan diri dengan menumbuk mata serta badan buaya yang sepanjang lebih tiga meter itu untuk melepaskan gigitannya.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu mengalami luka di kedua-dua paha.

Sebelum kejadian, Austin berkata, dia bersama lima rakan pergi ke pantai berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya ini untuk mandi sempena cuti sambutan Aidilfitri, kira-kira jam 7 pagi.

Selepas hampir setengah jam menghabiskan masa dengan mandi, dia tiba-tiba terasa sesuatu cuba menggigit pahanya.

“Ketika itu, saya langsung tidak terfikir digigit buaya kerana pantai berkenaan sering dikunjungi orang ramai, terutama setiap hujung minggu.

“Malah, ketika kedua-dua paha saya dibaham, saya masih mampu mengelak dan cuba menepis. Apabila gigitannya semakin kuat, barulah saya segera melawan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Austin berkata, dia menggunakan seluruh kudrat untuk menumbuk mata buaya itu.

“Hanya itu cara terakhir dan kudrat yang saya ada. Mungkin tumbukan tepat pada mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitannya dan kesempatan itu juga saya gunakan untuk menendang badannya,” katanya.

Austin bersyukur kerana terselamat daripada maut, namun menyesal kerana sebelum kejadian, ibu memang tidak membenarkan dia mandi di situ kerana bimbangkan keselamatannya.

“Saya tidak mengendahkan larangan itu, sebaliknya menuruti ajakan rakan yang merancang untuk mandi-manda di pantai berkenaan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

- hMetro

Wednesday, August 22, 2012

Pelajar Lelaki Sekolah Berasrama Penuh Retak Tulang Buku Lali Dibelasah Senior


Buku lali Muhammad Faris retak selepas dibelasah 25 pelajar senior di sebuah sekolah asrama penuh di Negeri Sembilan.

PUTRAJAYA - Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan terpaksa menanggung kesakitan lebih enam jam akibat retak tulang buku lali selepas dibelasah 25 pelajar senior jam 2.30 pagi, 5 Ogos lalu di asrama lelaki sekolah berkenaan.

Mangsa, Muhammad Faris Anuar, 14, ketika kejadian mendakwa sedang tidur di biliknya sebelum dikejutkan sekumpulan pelajar senior yang memanjat masuk ke biliknya dan membawanya pergi ke bilik lain.

Ibu mangsa, Salina Shahri, 39, berkata, pelajar berkenaan bertindak menendang dan menumbuk anaknya selepas tidak mengaku menconteng dinding tandas dengan perkataan yang mengejek pelajar berkenaan.

“Hanya kerana insiden menconteng nama di dinding bilik air sekolah anak saya disepak, ditumbuk dan diterajang malah mungkin berhadapan kecacatan kekal berikutan tulang buku lali sebelah kanan retak.

“Anak saya terpaksa menanggung kesakitan lebih enam jam kerana tidak berani untuk mengadukan kepada warden selepas diugut agar tidak melaporkan kejadian berkenaan jika tidak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Presint 9, baru-baru ini.

Salina berkata, namun kira-kira jam 9 pagi anaknya tidak dapat menahan kesakitan dan memaklumkan warden bahawa dia jatuh bilik air bagi mengelakkan kejadian tersebut diketahui pihak  asrama.

“Warden membawa anak saya ke Klinik Kesihatan Jempol untuk rawatan sebelum anak saya menghubungi saya supaya mengambilnya berikutan kakinya terlalu sakit dan tidak dapat berjalan.

“Pada mulanya saya menyerahkan perkara ini kepada pihak sekolah untuk menyelesaikan kes ini namun selepas mendapat keputusan perubatan daripada doktor memaklumkan anak saya mungkin berdepan dengan kecacatan kekal, saya bertindak akan membuat tuntutan sivil,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Menurutnya, anaknya merupakan antara pelajar cemerlang apabila memperoleh Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) 3.6 untuk peperiksaan penggal pertama.

"Namun berikutan kejadian ini, dia ketinggalan pelajaran  lebih sebulan kerana cuti sakit sehingga 27 Ogos dan akan menjalani rawatan susulan,” katanya.

- SH

Kerajaan Negeri Sarawak Tawar Biasiswa Penuh Kepada Pandelela Lanjut Pelajaran Ke Australia


KUCHING: Kerajaan negeri menawarkan biasiswa penuh kepada Ratu Terjun Negara Pandelela Rinong Pamg un­tuk melanjutkan pelajaran ke Australia.Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mem­beritahu, atlet negara itu turut berpeluang mendapatkan latihan lebih baik dalam sukan terjun.

“Dalam insentif khas ini, kita akan menaja sepenuhnya kursus pilihannya di Australia serta latihan berterusan dalam sukan terjun dan mungkin juga dalam renang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Pingat kepa­da Pandelela Rinong, di Astana Negeri Sarawak, semalam.

Menurut Taib, kerajaan juga bersedia menukar insen­tif khas itu kepada tawaran lain sekiranya Pandelela tidak mahu menerima biasiswa berkenaan.

“Sekiranya mahu (belajar) ke Australia, beliau boleh ber­buat demikian tetapi sekiranya tidak mahu ke Australia, beliau boleh menukarnya (dengan tawaran lain),” ka­tanya tanpa mengulas lanjut mengenai nilai keseluruhan biasiswa berkenaan.

Ditanya adakah kerajaan akan turut menjaga kebajikan keluarga Pandelela, Taib memberitahu: “Perkara itu akan kita uruskan.”

Pandelela merupakan atlet wanita pertama di Malaysia yang membawa balik pingat dari Sukan Olimpik apa­bila berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform dalam Sukan Olimpik London baru-baru ini.

Beliau turut menerima in­sentif daripada Kementerian Pembangunan Sosial seban­yak RM60,000 dan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) RM30,000.

Dua atlet kebangsaan lain yang turut mewakili Malaysia dalam sukan terjun di Ol­impik, Traisy Vivien Tukiet dan Bryan Nickson Lomas masing masing menerima RM15,000 daripada Kemente­rian Pembangunan Sosial dan RM10,000 daripada DCF.

- UB

Ketua Polis Daerah Bau Berharap Isu Dadah Libat Pelajar Sekolah Beransur Reda


BAU: Ketua Polis Daerah (KPD) Bau DSP Mohd Sabri Zainol berharap isu dadah khususnya melibatkan pelajar sekolah yang dimainkan sesetengah pihak akan beransur reda.

Beliau menyifatkan perkara itu tidak adil kerana aktiviti membabitkan dadah di daerah kecil itu tidak berleluasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain.

“Berdasarkan pengalaman saya ketika berkhidmat contohya di Semporna, Tawau, kalau dibandingkan dengan Bau, kes dadah memang tidak teruk kerana di sini tidak ada sarang tetap tetapi lokasinya sering berpindah-randah.

“Apabila belum ada sarang tetap, maknanya belum ada penagih tegar sekali gus membuktikan kes dadah di sini belum berleluasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya pertama.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan tidak adil hanya kerana polis di daerah kecil itu tidak pernah mengumumkan sebarang aktiviti penangkapan berhubung kes dadah di dada akhbar.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini hanya satu kes tangkapan membabitkan pelajar sekolah direkodkan.

“Kita memilih untuk tidak mengheboh-hebohkan kes sebegini kerana khuatir ia akan menjejaskan masa depan pelajar tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama daripada semua masyarakat di Bau khususnya daripada ketua-ketua masyarakat.

“Sebab itu pada musim perayaan sebegini, saya mengambil peluang untuk menjemput ketua-ketua masyarakat termasuk penduduk sekitar untuk datang ke rumah agar dapat berinteraksi serta merapatkan lagi hubungan.

“Apabila hubungan baik terjalin, segala pertukaran maklumat akan berlaku dengan lebih mudah,” katanya.

- UB

Tuesday, August 21, 2012

Automotive & Welding Institute Of Sarawak (AWISAR) Tawar Diploma Kemahiran Malaysia Teknologi Kimpalan


Sekadar gambar hiasan

KUCHING: Kumpulan pertama pelajar Diploma Kemahiran Dalam Teknologi Kimpalan telah mendaftar di Automotive & Welding Institute Of Sarawak (AWISAR) pada Julai lepas.

Pelajar-pelajar itu akan menjalani kursus selama 15 bulan untuk melayakkan mereka menjadi Penolong Jurutera Kimpalan dengan kelulusan Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4.

Institusi yang beroperasi di kawasan perindustrian Demak Laut Kuching itu telah menawarkan kursus jurukimpal untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 sehingga tahap 3, dan baru-baru ini telah mendapat pentauliahan penuh daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) daripada Kementerian Sumber Manusia untuk menawarkan pensijilan yang lebih tinggi lagi.

Adalah menjadi matlamat AWISAR untuk sentiasa meningkatkan kurikulum program ditawarkan supaya para pelajar mempunyai peluang kerjaya yang lebih luas dan sebagai sebuah institusi latihan kemahiran dinamik, ia perlu sentiasa mengikuti perubahan semasa serta memenuhi permintaan majikan dalam industri kimpalan supaya graduan yang dilahirkan menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

AWISAR juga mengadakan usaha sama dengan pihak industri seperti Petronas dan Sarawak Foundry Association untuk mendapatkan pengiktirafan industri berkenaan pensijilan dan kemahiran graduannya.

Selain itu Sijil Kemahiran Malaysia daripada peringkat tahap 2 juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam teknologi kimpalan akan menjadikan pelajar kimpalan lebih kompetitif dengan menyerapkan kemahiran menyelia, mengurus serta daya analisis dan pemikiran kritikal.

Modul yang akan dipelajari termasuk pengawasan kualiti, aplikasi IT, pengurusan projek, pelan tindakan pembetulan dan kemahiran berkomunikasi.

Jurukimpal yang mahir dan berkelayakan sangat diperlukan oleh pelbagai industri terutama industri pembinaan, minyak dan gas.

“Untuk kursus SKM Tahap 3, selain mendapat pensijilan daripada Jabatan Kemahiran Malaysia, pelajar kimpalan di AWISAR juga berpeluang mendapatkan pensijilan daripada Petronas, iaitu melalui kursus Kimpalan Lanjutan yang akan menyediakan mereka untuk bekerja dalam industri minyak dan gas.

Mereka yang telah lulus SKM Tahap 3 sebagai jurukimpal digalak untuk menyertai program Bagi DKM tahap 4, pengambilan untuk sesi Januari 2013 akan dijalankan bermula September 2012.
Selain itu, pengambilan untuk tahap 1 dalam jurusan Teknologi Kimpalan dan Automotif juga akan dijalankan.

Belia lepasan SPM yang sihat tubuh adalah layak untuk memohon menyertai program SKM Tahap 1.

Selain menyediakan kemudahan pembelajaran dan latihan yang standard industri, AWISAR juga menyediakan asrama untuk pelajar yang memerlukan, terutama yang datang daripada luar bahagian Kuching.

“Orang ramai yang berminat untuk mengetahui berke-naan program automotif dan kimpalan boleh menelefon ke 082-381767 atau melayari laman web : www. awisar. ppks.edu.my

- UB

KPM Cadang Memperkenalkan Subjek Kesusasteraan Bahasa Inggeris


Muhyiddin dan isterinya, Norainee bersalaman dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan rumah terbukanya di Kompleks Pekembar, Pagoh, semalam.

MUAR – Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan mata pelajaran tambahan iaitu Kesusasteraan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional (KSSPN) dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh pelaksanaannya akan diteliti kerana kita perlu memilih masa yang benar-benar sesuai.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian tersebut melibatkan tiga fasa dan setiap fasa akan berlaku perubahan.

“Kita memerlukan masa yang panjang antara 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh ini, sistem pendidikan negara dijangka boleh menandingi dengan negara termaju di dunia.

“Tetapi kita tidak perlu tunggu sehingga 15 tahun. Kita lihat dalam fasa pertama, apa yang kita boleh lakukan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Pekembar Pagoh, hari ini.

Beliau berkata, dalam fasa pertama terdapat perkara mudah yang boleh dilakukan dahulu yang tidak melibatkan perubahan besar dari segi infrastruktur dan kewangan, akan dilaksanakan terlebih dahulu.

Muhyiddin menjelaskan, tiga suku proses KSSPN sudah dilakukan dan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalankan lebih tiga bulan lalu juga telah selesai.

“Hasil dialog ini, kita berjaya memperolehi ratusan cadangan yang diserahkan kepada kementerian oleh Pengerusi Dialog Nasional, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin.

“Cadangan yang memberi impak besar akan dijelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa melancarkan 'blue print' (rangka tindakan) pendidikan, 11 September depan,” katanya.

Beliau berkata, selepas pelancaran itu, dalam tempoh beberapa bulan, kementerian akan mempamerkan beberapa cadangan supaya  pihak yang berminta boleh memberi pandangan bernas.

“Akhirnya, kementerian akan membuat kesimpulan pada kajian terakhir sebelum perkara ini  dibawa ke Kabinet pada akhir tahun,” katanya.

- SH

PM Akan Lancar Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional Pada 11 September

PAGOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional pada 11 September ini di Kuala Lumpur, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, rangka tindakan itu mengandungi pelbagai cadangan penting merangkumi semua aspek ke arah penambahbaikan sistem pendidikan negara. Katanya, selepas tiga bulan dilancarkan, rangka tindakan itu akan dipamerkan kepada umum untuk mendapat maklum balas daripada pihak yang berkaitan sebelum dirumuskan dan dibawa ke Kabinet sebelum akhir tahun ini. 

Pelaksanaan kajian semula itu akan dilakukan secara tiga gelombang bagi tempoh 13 tahun dengan gelombang pertama selama tiga tahun manakala kedua dan ketiga pula masing-masing lima tahun, katanya. 

"Semasa gelombang pertama, keutamaan akan diberi kepada bidang pendidikan yang mudah dilaksanakan dan memberi impak tanpa perubahan struktur dan kewangan yang besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Sri Pekembar di sini, hari ini. 

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. 

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sehingga tahun 2025, kerajaan berharap dapat menganjak kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang terbaik dalam pendidikan di dunia. 

Beliau tidak menafikan terdapat harapan tinggi orang awam dan yang berkaitan terhadap sistem pendidikan yang perlu ditambah baik dan ditingkatkan sebagaimana yang diluahkan mereka melalui siri dailog di seluruh negara sebelum ini. 

Penambahbaikan itu antara lain akan menyentuh subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta bidang kuasa pejabat pelajaran daerah. 

Muhyiddin berkata subjek sastera Inggeris akan diperkenalkan semula sebagai satu daripada usaha meningkatkan sistem pendidikan negara. 

Beliau berkata, langkah itu dicadangkan oleh perdana menteri dan Kementerian Pelajaran menganggapnya munasabah untuk memudahkan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. 

Pelaksanaannya di peringkat sekolah menengah dan jadual waktunya akan diteliti mengikut kesesuaian, katanya. 

- BERNAMA

Saturday, August 18, 2012

Pelajar pecah gegendang telinga ditampar guru

Bahagian belakang telinga pelajar Muhammad Bazly terkoyak akibat ditarik dan ditampar guru Bahasa Inggeris dalam satu kejadian di sekolah berasrama dekat sini, Khamis lalu.

DUNGUN - Gara-gara mengejek guru, seorang pelajar tingkatan satu pecah gegendang telinga selain turut cedera akibat ditampar beberapa kali oleh guru berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku ketika pelajar terbabit, Muhammad Bazly Burhan, 13, sedang menduduki peperiksaan pentafsiran di salah sebuah sekolah berasrama berdekatan bandar Dungun.

Menceritakan kejadian berkenaan, Bazly berkata, detik hitam itu dipercayai berpunca akibat dia mengeluarkan kata-kata ejekan terhadap gurunya menyebabkan guru Bahasa Inggeris itu 'naik minyak' sebelum memanggilnya lalu menarik kedua telinga selain menampar beberapa kali di bahagian pipi pelajar tingkatan satu itu.

Katanya, ketika ditampar guru berkenaan, dia tidak melawan, malah meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengguris hati guru tersebut.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang juga mengikuti peperiksaan selain beberapa rakan lain yang berada di luar kelas.

“Ketika dia menampar pipi, sambil menahan kesakitan, saya beberapa kali memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu namun dia terus menampar pipi saya.

“Telinga saya kemudiannya terasa sakit sebelum darah keluar, apabila melihat darah keluar, baru dia berhenti menampar saya,” kata Bazly yang juga bekas murid Sekolah Rendah Islam Al Amin, Kemaman.

Menurut Bazly, selepas kejadian itu dia balik ke asramanya lalu menyapu ubat minyak gamat di tempat lukanya itu.

Bazly berkata, kejadian itu tidak diberitahu kepada ibu bapanya sehinggalah ibunya mendapat tahu daripada ibu kepada rakannya yang turut bersekolah di situ mengenai kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.

Sebaik mendapat tahu kejadian tersebut, bapa Bazly, Burhan Abdullah, 46, datang mengambilnya di asrama lalu menghantar anaknya itu untuk mendapat rawatan awal di sebuah klinik swasta dekat Paka.

Hasil pemeriksaan doktor, gegendang telinganya didapati telah pecah lalu bapanya membawa Bazly untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rawatan Pakar Kuantan sebelum merujuk semula kesnya ke Hospital Dungun.

Kejadian berkenaan turut dilaporkan di Balai Polis Paka Ahad lalu.

Sementara itu, bapa Bazly, Burhan yang juga seorang eksekutif di syarikat minyak dan gas berkata, dia kesal dengan kejadian berkenaan, apatah lagi ia berlaku di sebuah sekolah berasrama yang mempunyai tahap moral yang tinggi pada persepsi masyarakat umum.

“Selepas kejadian itu, guru sekolah tersebut sepatutnya menghubungi saya, berbincang, kalau perlu memohon maaf, minta maaf.

“Ini tidak sehingga hari ini, mereka masih membisu, kalau anak rakan isteri saya tidak memberitahu saya, hingga hari ini saya tidak tahu kejadian yang berlaku,” kata Burhan.

Sinar Harian juga difahamkan Burhan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes anaknya itu.

- SH

Kelindan Lori Ditembak Polis Kerana Merogol & Melarikan Dua Pelajar IPT Secara Paksa Dihadapkan Ke Mahkamah

Anuar diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, semalam.

SHAH ALAM - Seorang kelindan lori yang mengalami kecederaan akibat ditembak polis, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melarikan secara paksa dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan merogol seorang daripada mereka, Jun lalu.

Anuar Mohamad, 34, dari Taman Alam Megah di sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan berkaitan.

Di Mahkamah Sesyen, Anuar didakwa merogol mangsa berumur 18 tahun di sebuah rumah di Lot 3862, Jalan Haji Tarmidi, Rantau Panjang, Klang dekat sini, antara jam 1.20 pagi dan 6 pagi, 25 Jun lalu.

Tertuduh, yang hanya duduk di kerusi sepanjang prosiding berikutan kecederaan dialaminya, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan ketika ditangkap, polis terpaksa menembak tertuduh kerana dia cuba melarikan diri.

Anuar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin atas alasan dia tidak terbabit dalam kejadian itu.

Hakim Slamat Yahya bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melarikan secara paksa mangsa yang sama dan seorang lagi pelajar IPT berumur 23 tahun dengan niat untuk menyebabkan kedua-dua mangsa dikurung secara rahsia dan salah.

Anuar didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia 18 tahun di tepi jalan bawah blok asrama bangunan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Seksyen 3 di sini antara jam 1.20 pagi dan 6 pagi, 25 Jun lalu.

Perbuatan terhadap mangsa berusia 23 tahun pula didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran perhentian bas sebelah Universiti Selangor (Unisel), Seksyen 7 di sini pada jam 11 malam, 30 Jun lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Anuar didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Majistret Zilfinaz Abas juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Nor. - Bernama

Friday, August 17, 2012

Pandelela Terima Biasiswa Yayasan Tun Razak Biaya Lanjut Pelajaran di Universiti


PUTRAJAYA - Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg bersedia menghadapi tekanan sebagai selebriti baharu sukan tanah air khususnya bagi memenuhi harapan tinggi rakyat terhadap dirinya.

Menjadikan atlet terjun Britain Tom Daley sebagai inspirasinya, pemenang pingat gangsa Olimpik London itu, mahu mengamalkan sikap tenang dan ceria di luar masa latihan.

"Meskipun menjadi tumpuan media dan seluruh rakyat Britain ketika temasya Olimpik lepas, beliau (Tom Daley) tetap fokus pada latihan dan pertandingan selain sentiasa bersikap tenang terutamanya di luar waktu latihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir ibu dan bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg Joheng serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada pertemuan selama 15 minit itu, Perdana Menteri menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan berjumlah RM100,000, unit Amanah Saham Wawasan RM200,000 selain hadiah peribadi beliau kepada gadis berketurunan Bidayuh itu.
   
Pandelela, 19, juga menerima biasiswa daripada Yayasan Tun Razak iaitu pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di Malaysia dalam bidang pilihannya.

Pandelela, bagaimanapun berkata buat masa ini beliau belum memutuskan bidang pengajiannya kerana terlalu sibuk dengan latihan.

"Yang pasti saya jenis tidak suka Matematik Tambahan jadi kalau boleh saya akan mengambil jurusan yang tidak perlu belajar subjek itu," katanya dalam nada bergurau.

Pandelela turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas ganjaran yang diberikan dan berazam berlatih lebih gigih bagi mencapai kejayaan di Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara yang banyak menolong serta Tun Ahmad Sarji (Abdul Hamid selaku Ketua Kontinjen Malaysia) yang sentiasa menyokong saya ketika di Olimpik London," katanya yang berhasrat membelikan hadiah istimewa untuk kedua ibubapanya daripada wang ganjaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Pandelela menyambut baik keputusan kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan sukan terjun termasuk melantik empat jurulatih baru serta menaik taraf Pusat Akuatik Nasional.

"Saya percaya dengan peruntukan itu sukan terjun akan menghasilkan lebih banyak kejayaan di kejohanan peringkat dunia selain dapat mengasah lebih ramai bakat baharu," katanya.- Bernama

Thursday, August 16, 2012

Cadangan Pelajar Bawa Telefon Bimbit & iPad Akan Diketahui Akhir Tahun

KUCHING: Cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan akan diputuskan menjelang akhir tahun ini. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pandangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan berkenaan. Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran itu atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan pelajar terhadap pembelajaran. 

Wee berkata cadangan itu adalah selari dengan perkembangan semasa serta garis panduan akan ditetapkan bagi mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelak ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan tahunan sebanyak RM11.2 juta kepada 165 buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) bantuan kerajaan dan sekolah mubaligh aliran Cina di sini hari ini. 

Wee juga berkata kementerian akan memperbaiki bangunan sekolah SJK yang usang di Sarawak termasuk menggantikan struktur bumbung, perabot serta menambah kapasiti bilangan murid. - BERNAMA

10 Gadis Mentah Sanggup Jual Tubuh Demi Mendapatkan Gajet


JOHOR BAHRU: Kegilaan terhadap pelbagai gajet dan alat telekomunikasi canggih menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun menjual tubuh termasuk meniduri lelaki berusia 60-an bagi mendapatkan wang untuk membeli barangan kegemaran mereka itu.

Perlakuan pelajar tingkatan dua dari Ulu Tiram, dekat sini, itu terbongkar apabila keluarganya menyedari dia memiliki barangan berjenama serta gajet terbaru yang setiap satu daripadanya berharga ribuan ringgit.

Gadis terbabit pada awalnya mendakwa gajet berkenaan kepunyaan rakan sekolah namun keluarga yang curiga membawanya mendapatkan kaunseling di Pejabat MCA Johor Jaya sebelum dia mengakui menjual tubuh kerana mahu memiliki barangan berkenaan.

Ketika berkongsi pengalamannya, gadis mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia terbabit kegiatan tidak bermoral itu sejak awal tahun ini.

- hMetro, 18 Julai

Tuesday, August 14, 2012

Juruteknik Dipenjara 7 Tahun Didapati Bersalah Rogol Pelajar Tingkatan Dua


PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang juruteknik yang didapati bersalah merogol seorang pelajar tingkatan dua, tiga tahun lepas.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan Mohd Sharil Affendi Anbiah, 25, menjalani hukuman mulai hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Esther Tan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan kes itu selesai, dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM7,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Sharil didakwa merogol pelajar itu di sebuah rumah di kawasan Puchong pada 24 Mac 2009, antara 10.30 malam hingga 5.00 pagi esoknya, mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhya Syazwani Izyan Mohd Akhir.


-- Bernama

Keputusan Peperiksaan SPM Ulangan 2011 Dikeluarkan 16 Ogos (Khamis) Ini



KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. – Bernama

Pelajar Tingkatan 3 Maut Terjatuh Dari Flat Tingkat 7


PETALING JAYA – Seorang pelajar tingkatan 3 maut selepas terjatuh dari tingkat 7, Flat Vista, Kampung Sungai Kayu Ara, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dikenali sebagai B Vinod, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama maut di tempat kejadian berikutan kecederaan yang dialami.

Siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk pada kepala dan patah tangan kiri.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

- SH

Keluarga Pelatih PLKN Terima Pampasan Insurans RM55,000


MURUGESAN (kanan) menyerahkan cek pampasan insurans kepada Raman sambil diperhatikan oleh Vasantah di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Nasib yang menimpa keluarga mendiang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), R. Vinoth yang meninggal dunia di kem Terkok, Sungai Siput, Perak pada awal Mac lepas terbela setelah menerima pampasan insurans berjumlah RM55,000 daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara.

Sumbangan itu disampaikan oleh Anggota Majlis PLKN, Datuk S. Murugesan kepada ibu bapa Vinoth, S. Raman, 47, dan R. Vasantha, 47, di kediaman mereka di Pangsapuri Sri Rasau, Seksyen 16, di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek itu, Murugesan yang juga Setiausaha Agung MIC berkata pemberian tersebut sebagai sumbangan ikhlas yang diharap akan dapat meringankan beban ibu bapa Vinoth yang terpaksa menyara tiga lagi anak mereka.

Mengikut laporan media, Vinoth, 18, disahkan meninggal dunia pada 10 malam 12 Mac lepas setelah dirawat selama tiga hari di Hospital Sungai Siput kerana demam.

Beliau yang mengikuti PLKN awal Januari lepas dilaporkan demam di kem berkenaan beberapa hari dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan.
-Bernama

Forum Bejuraika Penemu Pelajar Jaku Iban Ba Tikas Master & PhD Patut Chakah Diatur


TEPA: Jelaing dipasukka ‘Baju Burung Iban’ ke tepa maya atur pengawa nya

Semua raban bansa Iban ke ngembuan pemandai sereta pengelandik aruh begempung nyapai juluk nya

MIRI: Sapit Menteri Perengka Pengangkut, Jelaing Mersat madah, forum endur bejuraika penemu senentang Pelajar Jaku Iban ke dipelajarka ba tikas Master enggau PhD ba universiti di menua tu patut chakah agi diatur.

Iya bejaku munyi tu lebuh bejadika Tikas 1, Pelajar Lagu Iban KSSR ba Mega Hotel ditu malam Hari Empat minggu nyin kemari.

“Chakah agi ngemansangka Jaku Iban. Raban bansa Iban, lebih agi raban kitai ke ngembuan pemandai patut begempung kena nentuka juluk nya ulih japai.

“Pengawa ngegap sereta ngeringka jaku Iban ba nembiak rebak baru beguna amat ngambika sida nemu adat enggau jaku diri empu enggau menuku agi,” ku iya.

Jelaing ke mega Kaban parlimen Saratok meransang bansa Iban ke pepandai berandau sereta ngemujurka Jaku Iban dipelajarka ba tikas Master enggau PhD laban pekara tu enda kala dipejuraika bala lecturer sebedau tu.

“Forum nya nyadi pelasar ke pemadu manah endur bejakuka pekara nya laban  ari nya tadi kitai nrmu chara ngemansangka jaku nya” ku iya.

Jelaing mega muji pengawa ti dikereja Opis Menteri Pelajar Malaysia (KPM) ti ngemansangka Jaku Iban ngagai Tikas 1 ba sekula primari.

Urung 200 iku orang ke landik ba Iban ari serata menua Sarawak tu udah datai ke Miri ngulu bengkel Level 1 KSSR Iban Language Edutainment Materials Building Workshop ngelama Lima Hari sereta tembu kena Hari Empat minggu nyin kemari.

Bela bisi ngulu pengerami nya Sapit Direktor Unit Jaku Etnik KPM, Bagi Pemansang KoKurrikulum, Padng Luna enggau chairlady pengatur pengawa Patricia Ganing ke mega lecturer ba Universiti Pendidikan Sultan Idris.

- UB

Monday, August 13, 2012

Lagi Seramai 4,430 Pelajar Dikecualikan Bayar PTPTN


TEMERLOH: Seramai 4,430 orang lagi pelajar dikecualikan  daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamad Ismail Said berkata, pengecualian tersebut membabitkan peruntukan RM116.230 juta.

“Sehingga 30 Jun lepas, seramai 13,011 pelajar telah dikecualikan daripada membayar balik pinjaman kerana cemerlang dalam pelajaran membabitkan peruntukan sebanyak RM370.70 juta,” katanya kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama saudara baru Orang Asli di Kampung Penderas Kuala Krau kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kira-kira 70 peratus pelajar membayar balik pinjaman berikutan beberapa pendekatan dilakukan PTPTN, antaranya bersedia bertolak ansur dan menerima bayaran sekurang-kurangnya RM50 sebulan atau menjadual semula bayaran balik pelajar yang bermasalah.

Katanya, pembukaan beberapa cawangan baharu PTPTN seperti di Pahang, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang turut membantu meningkatkan bayaran balik pinjaman tersebut kerana pelajar mudah berurusan berbanding sebelum ini di mana mereka hanya berurusan di ibu pejabat PTPTN sahaja.

“PTPTN menyasarkan akan membuka pejabat cawangan di setiap negeri menjelang akhir tahun ini bagi memudahkan pelajar berurusan, manakala pejabat cawangan PTPTN di Sabah dan Sarawak akan berpindah ke pejabat baharu tidak lama lagi,” kata Ismail.

Katanya, kesedaran pelajar untuk membayar balik pinjaman tersebut semakin tinggi, walaupun pembangkang menjalankan pelbagai tohmahan dan kempen untuk menghapuskan PTPTN.

Di ALOR SETAR, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata 1.99 juta pelajar mendapat manfaat PTPTN untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sejak penubuhannya 14 tahun lepas.

Sebanyak RM44.62 bilion dikeluarkan iaitu RM23.78 bilion kepada 1,371,754 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan RM20.84 bilion untuk pelajar swasta (IPTS).

“Kerajaan tidak mahu pelajar menghadapi rintangan melanjutkan pengajian kerana mahu mereka mendapat pendidikan tinggi walaupun bayaran balik kurang memuaskan.

“Sekiranya pembangkang masih hendak kritik bahawa PTPTN bukan satu cadangan baik, pasti sebahagian besar pelajar yang tidak mampu terkandas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan waran wang pendahuluan pembiayaan kepada 964 pelajar dalam Parlimen Alor Setar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/IPTS) Sept ini.

Beliau berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 50 peratus rakyatnya berpendidikan tinggi untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.

Katanya sehingga Jun tahun ini sepatutnya 1.124 juta orang membayar balik pinjaman tetapi cuma 769,848 orang yang bayar balik pinjaman berjumlah RM3.37 bilion.

“Saya merayu pelajar-pelajar apabila tamat belajar dan mendapat pekerjaan membayar balik pinjaman. Jika tidak mahu bayar, belajar bersungguh-sungguh.

Lulus kelas pertama, kerajaan ubah pinjaman jadi biasiswa,” katanya.

Chor berkata dari 1.99 juta pelajar yang menerima peminjam, sepatutnya 1.124 juta orang bayar balik tetapi cuma 769,848 orang yang bayar balik pinjaman mereka berjumlah RM3.37 bilion sehingga Jun tahun ini.

Katanya, kerajaan akan berada dalam kesusahan sekiranya peminjam menjadi rakyat tidak bertanggungjawab dan enggan membayar balik kecuali mereka yang tidak berkemampuan tidak dipaksa.

Di BESUT, 3,029 pelajar dari seluruh daerah di Terengganu menerima wang pendahuluan pembiayaan (WPP) PTPTN untuk kemasukan ke IPTA, bermula September ini.

Penolong Pengurus PTPTN Cawangan Terengganu, Khatijah Wahab berkata ia membabitkan kos RM4.543 juta yang kini mula dibayar kepada mereka yang berjaya memperolehnya secara berperingkat-peringkat mengikut daerah.

“WPP diberi melalui waran CIMB bernilai RM1,500 yang mempunyai tempoh laku selama sebulan bermula 8 Ogos lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian WPP peringkat Parlimen Besut yang disempurnakan Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Katanya, untuk daerah Besut, 597 pelajar menerimanya membabitkan kos RM895,500 dan permohonan baharu masih dibuka dan mereka yang ingin memohonnya boleh melayari www.ptptn.gov.my atau menghubungi 03-20804455.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Abdullah meminta pelajar yang berjaya memasuki IPTA supaya menumpukan sepenuh masa mereka kepada mengejar ilmu supaya mendapat kelulusan yang cemerlang.

Menurutnya, setiap pelajar boleh cemerlang atas usaha mereka sendiri dan bukan berdasarkan universiti mana yang mereka diterima belajar. — Bernama