Thursday, January 24, 2013

600 Guru Baru di Sarawak Menjelang Bulan Depan


KUCHING: Penempatan kira-kira 600 guru baru di Sarawak menjelang bulan depan atau Mac dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan guru terutama di luar bandar, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, guru-guru ini akan ditempatkan di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah yang mengalami kekurangan guru terutama guru agama dan bahasa Melayu.

"Kita berkongsi keprihatinan rakyat dan akan memastikan kemudahan pengajaran, sumber manusia dan infrastruktur dinikmati oleh anak-anak kita di Sarawak sama seperti kanak-kanak lain di negara ini," katanya ketika menghadiri taklimat Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam di sini, hari ini.

“Kini terdapat 364 kekosongan dari kuota 14,327 yang perlu diisi di Sekolah Menengah, 354 kekosongan di Sekolah Kebangsaan daripada 20,002 kuota sementara Sekolah Jenis Kebangsaan mempunyai 64 kekosongan daripada 5,111 kuota,” katanya.

Data jabatan berkenaan turut menunjukkan sejumlah 4,117 guru kelahiran Sarawak berkhidmat di luar Sarawak termasuk 879 di Sabah, 821 di Selangor, 638 di Johor dan 292 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 31 Oktober tahun lalu.

Mengenai penutupan sekolah yang terdapat sebilangan kecil pelajar, Fatimah berkata, kini terdapat 600 sekolah yang mempunyai pelajar kurang dari 150 orang di seluruh Sarawak, tetapi pihak berkaitan termasuk Jabatan Pelajaran perlu terlebih dulu berbincang dengan masyarakat setempat sebelum keputusan dibuat untuk menutup sekolah berkenaan atau menempatkan pelajar di sekolah lain.

Beliau berkata, beberapa isu seperti keadaan sekolah berasrama di luar bandar yang yang uzur dan kekurangan kemudahan infrastruktur akan dibangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ketika melawat Sarawak minggu depan. - BERNAMA

No comments: