Friday, January 25, 2013

Bekas Pensyarah KLMU Dipenjara 6 Bulan Kerana Jual Diploma

  Pengajar.Info       Friday, January 25, 2013
Kuala Lumpur: Seorang bekas pensyarah dihukum penjara enam bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah bagi dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada pelajarnya bagi memperoleh sijil diploma, tahun lalu.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 bagi setiap tuduhan terhadap Elmy Shadzly Wahi, 41, selepas lelaki itu menukar pengakuannya kepada mengaku bersalah pada 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Zamzani memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan Hakim Rozilah Salleh terhadap lelaki itu yang turut mengaku bersalah bagi satu lagi tuduhan.

Tertuduh turut diperintahkan membayar penalti RM1,500 mengikut Seksyen 40(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana dia mengakui fakta kes bahawa nilai suapan bagi tuduhan pertama sudah dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

Berdasarkan kertas tuduhan pertama yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini, Elmy Shadzly secara rasuah menerima RM1,500 daripada Izam Mustaffa sebagai dorongan bagi memperoleh sijil diploma dalam bidang Pengurusan Hotel dari Nilai University College (NUC), jam 1.45 tengah hari 22 Mac 2012 di Maybank Berhad Cawangan Taman Molek, Johor Bahru, Johor.

Manakala, bagi satu lagi tuduhan, dia didakwa di hadapan Ahmad Zamzani iaitu menerima suapan RM1,500 daripada Izam bagi tujuan sama di Sarimas Cafe, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini, jam 1.15 tengah hari 3 April tahun lalu.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Di bawah seksyen itu juga, tertuduh boleh didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

myMetro 24 Jan 2013
logoblog

Thanks for reading Bekas Pensyarah KLMU Dipenjara 6 Bulan Kerana Jual Diploma

Previous
« Prev Post

No comments: