Tuesday, January 22, 2013

Guru Dari Semenanjung Tiada Hadapi Masalah, Kini Seramai 41000 Mengajar di Sarawak

  NR       Tuesday, January 22, 2013

KUCHING: Guru-guru dari Semenanjung Malaysia tidak menghadapi masalah jika ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar di negeri ini.

Menurut Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Abdillah Adam guru-guru yang bakal ditempatkan di sekolah-sekolah di luar bandar sudah diberi pendedahan awal dan bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka akan ditempatkan.

Abdillah berkata sejak tahun 70-an kebanyakan guru dari Semenanjung Malaysia sudah mula ditempatkan di sekolah-sekolah di luar kawasan bandar kerana di situlah terdapatnya kekosongan bagi jawatan tersebut.

“Kini terdapat banyak permohonan daripada guru-guru yang berasal dari Semenanjung Malaysia yang ingin kekal mengajar di Sarawak walaupun tempoh perkhidmatan mereka di sini sudah tamat,” ujarnya yang turut menjelaskan kini jumlah guru di sekolah rendah dan menengah di Sarawak adalah seramai 41,000 orang.

Namun begitu perkhidmatan daripada guru-guru dari Semenanjung Malaysia kian berkurangan terutama di sekolah rendah setelah jawatan tersebut telah mula diisi oleh guru-guru tempatan.

“Walaupun guru-guru tempatan sudah mula mengisi kekosongan di sekolah-sekolah, kita masih memerlukan perkhidmatan daripada guru-guru dari Semenanjung Malaysia untuk mengajar subjek-subjek yang khusus terutama yang berkaitan dengan mata pelajaran Sains dan Pendidikan Islam,” jelasnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai masalah perjudian secara talian yang melibatkan para pelajar sejak kebelakangan ini, beliau menjelaskan perkara tersebut hanya melibatkan sebilangan kecil pelajar dan bukan perkara yang serius.

Namun begitu beliau memberitahu bahawa pasukan petugas khas telah ditubuhkan di semua sekolah bagi memantau aktiviti-aktiviti para pelajar di samping memohon kerjasama daripada ibu bapa bagi tujuan yang sama.

Abdillah ditemui pada majlis penutupan rasmi Kursus Lepasan Sekolah 2013 di Auditorium Jabatan Belia dan Sukan Sarawak semalam.

Kursus sehari tersebut melibatkan 100 peserta dari sekitar Kuching dan Kota Samarahan merupakan anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Sarawak (PEMBINA) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak.

Menurut pengarah program Raja Nurulhuda Raja Ibrahim, antara objektif penganjuran kursus tersebut adalah mendedahkan para peserta dengan peluang menyambung pelajaran selepas SPM dan STPM serta membimbing para lepasan sekolah dalam memilih bidang pengajian yang sesuai bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

- UB
logoblog

Thanks for reading Guru Dari Semenanjung Tiada Hadapi Masalah, Kini Seramai 41000 Mengajar di Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments: