Wednesday, January 23, 2013

Guru, Ibu Bapa Mahu Cara Sistematik Agih Bantuan Persekolahan RM100

  NR       Wednesday, January 23, 2013

MIRI - Kementerian Pelajaran disaran menimbang kemungkinan memasukkan wang bantuan RM100 secara terus ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa mereka sebagai suatu cara pengagihan yang lebih cepat dan sistematik.
   
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pelajar membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan sebelum sesi baru persekolahan bermula.
    
"Ini akan memastikan pelajar dan ibu bapa menerima bantuan itu pada November atau Disember untuk membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti pensil dan buku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Ghani berkata cadangan pembukaan akaun bank perlu diberi pertimbangan memandangkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terpaksa ke bandar hanya untuk mendapatkan RM100.
   
"Kadang-kadang, kos pengangkutan lebih daripada RM100 yang mereka terima, jadi lebih baiklah mereka buka akaun bank," katanya sambil berharap jumlah bantuan itu ditambah beransur-ansur dengan kenaikan minimum RM50, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Berkongsi pendapat yang sama, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Columba Miri Karambir Singh berkata wang bantuan itu boleh dikreditkan ke dalam akaun bank pelajar, ibu bapa atau penjaga.
   
"Cara itu lebih cepat dan guru boleh meminta nombor akaun daripada ibu bapa dan penjaga pada hari pendaftaran," katanya selepas majlis penyampaian wang bantuan RM100 oleh Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, setiausaha politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, di sini hari ini.
   
Christina Bundak, 37, antara penerima wang bantuan itu, berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan itu dikreditkan ke dalam akaun bank memandangkan sistem yang diguna sekarang agak membebankan sesetengah ibu bapa kerana mereka perlu berbaris panjang, merempuh kesesakan lalu lintas dan memohon cuti.
   
Ketika mengalu-alukan inisiatif yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, pesara Logie Krian, 60, meminta kerajaan mencari alternatif agar bantuan berkenaan boleh diagihkan dengan lebih cekap.
   
Sementara itu, Ting, yang juga setiausaha publisiti dan penerangan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata sehingga 18 Jan, 45,991 pelajar di Miri telah menerima bantuan kewangan itu.  - Bernama
logoblog

Thanks for reading Guru, Ibu Bapa Mahu Cara Sistematik Agih Bantuan Persekolahan RM100

Previous
« Prev Post

No comments: