Tuesday, January 29, 2013

Kanak-Kanak Maut Jatuh Dari Tingkat Tujuh Kondominium

  Pengajar.Info       Tuesday, January 29, 2013

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Kondominium Sutra Mas di Puchong Jaya ketika di bawah jagaan pengasuhnya dekat sini hari ini.

Mayat Muhamad Adam Zafuan, 6, ditemui pukul 9.30 pagi di pekarangan kondominium 12 tingkat itu oleh orang ramai.

Kanak-kanak malang itu yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Serdang.

Ibunya, Siti Nurjannah Azman, 24, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakannya yang tinggal di kondominium tersebut.

“Saya menghantar Adam ke rumah pengasuh di tingkat tujuh sejak bulan Mei tahun lalu. Dia memang seorang yang aktif dan suka bermain di balkoni," katanya sebak ketika ditemui di Hospital Serdang.

Menurut Siti Nurjannah, dia dan keluarga tinggal di tingkat lima kondominium namun tidak menyangka anak tunggalnya itu akan meninggal dunia dalam keadaan tragis.

Katanya, arwah anaknya itu dihantar ke rumah ibunya di Jalan Kuching sejak Jumaat lalu tetapi disebabkan dia dan suaminya bekerja hari ini, arwah terpaksa dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh pagi ini.

Tambah Siti Nurjannah yang bekerja di sebuah pusat kecergasan di ibu negara, dia dikejutkan dengan berita sedih menimpa anaknya itu setengah jam selepas tiba di tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ini dan pihaknya mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kanak-Kanak Maut Jatuh Dari Tingkat Tujuh Kondominium

Previous
« Prev Post

No comments: