Thursday, January 31, 2013

Kebajikan Sekolah Mubaligh di Sarawak Tidak Akan Diabaikan

  Pengajar.Info       Thursday, January 31, 2013
KUCHING: Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kebajikan sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini tidak akan diabaikan dan dikekalkan dalam sistem pendidikan nasional.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata berlaku salah faham di mana sekolah mubaligh dikatakan tidak disentuh dalam pelan pembangunan pendidikan negara.

Hakikatnya, menurut Muhyiddin, soal sekolah mubaligh bukan tidak disentuh dalam pelan tersebut tetapi sekolah-sekolah ini telah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan nasional sejak dahulu hingga kini.

“Sekolah mubaligh yang selama ini bersama kerajaan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan diuruskan oleh Kementerian Pelajaran termasuk soal penempatan guru, bayaran gaji serta bantuan-bantuan lain.

“Bentuk kokurikulum yang digunakan juga adalah standard kebangsaan dengan peperiksaan awam seperti PMR, SPM, STPM termasuk matrikulasi.

“Jadi atas dasar itu, sekolah mubaligh masih kekal dalam sistem pendidikan nasional dan telah disebut pada pertemuan baru-baru ini bersama Tan Sri Bernard Dompok mewakili persatuan-persatuan sekolah mubaligh di seluruh negara,” katanya.

Menyentuh mengenai soal membawa balik penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah mubaligh, Muhyiddin berkata tidak ada cadangan seperti itu dalam perakuan kementerian.

Tetapi katanya, yang menjadi minat ibu bapa ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

“Kalau itu soal pokoknya, sistem yang boleh kita buat dalam pem-belajaran bahasa Inggeris adalah menambah baik standard bahasa itu sendiri di semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah mubaligh,” jelasnya kepada pemberita.

Terdahulu sebelum sidang media, Muhyiddin menghadiri majlis perjumpaan bersama ribuan penjawat awam di negeri ini di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Majlis yang menjadi acara wajib kepada pemimpin nombor dua negara itu penting untuk mewujudkan gandingan kerjasama antara pemimpin-pemimpin negara dan kakitangan awam yang berperanan penting dalam memacu pemba-ngunan negara.

Muhyiddin dalam ucapannya turut memuji kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh pen-jawat-penjawat ke arah negara yang cemerlang.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani serta menteri-menteri kabinet yang lain.

- UB
logoblog

Thanks for reading Kebajikan Sekolah Mubaligh di Sarawak Tidak Akan Diabaikan

Previous
« Prev Post

No comments: