Wednesday, January 09, 2013

Kes Rogol Pelajar Perubatan di India Cetus Kebangkitan Bantah Jenayah Seks

  NR       Wednesday, January 09, 2013

Kejadian rogol berkumpulan membabitkan seorang pelajar perubatan wanita sehingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia, mencetuskan bantahan besar-besaran di New Delhi, sebuah bandar raya yang hampir setiap hari menyaksikan kes rogol berlaku.

Jika sebelum ini banyak kes sama hanya didiamkan tanpa sebarang tindakan undang-undang, kejadian terbaharu itu mengubah pendirian rakyat India yang mahu supaya hak wanita diberi perhatian sewajarnya.

Keterbukaan Badri Singh Pandey, bapa kepada mangsa rogol yang mendedahkan nama anaknya kepada umum juga, mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan menentang jenayah seks terhadap wanita di India.

Dia bukan orang berpengaruh, namun dengan berani mahu menongkah arus di negara yang mana bukan sahaja undang-undangnya menindas mereka yang menjadi mangsa, malah budaya sosial masyarakatnya seakan 'membenarkan' isu itu berleluasa.

"Saya mahu seluruh dunia tahu, anak perempuan saya bernama Jyoti," katanya kepada sebuah akhbar Britain.

Bapa itu berbuat sedemikian supaya wanita lain berani melakukan tindakan yang sama, mengambil iktibar dan semangatnya bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.

Sebelum ini, undang-undang di India tidak membenarkan nama mangsa jenayah seks didedahkan untuk melindungi mangsa, juga kerana pandangan negatif terhadap mangsa dan keluarga sangat teruk di India.

Keadaan itu seolah-olah mengatakan bahawa 'menjadi mangsa' itu sesuatu yang sangat berdosa dan memalukan.

Menurut perangkaan, jenayah rogol berlaku setiap 21 minit di India, bermakna setiap sehari, sekurang-kurangnya 50 kes rogol berlaku.

Kebanyakan daripada kes tersebut tidak didedahkan, malah tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, dengan menganggap perkara itu sangat memalukan.

Hanya sesekali, apabila berlaku insiden seperti yang dialami Jyoti, barulah beberapa pihak akan bersuara dan mendesak hukuman setimpal dijatuhkan terhadap pelaku.

Namun, undang-undang India sering tidak menyebelahi mangsa, pelaku dikenakan hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, kes tertangguh untuk sekian lama dan akhirnya pesalah dibebaskan.

Pada 1973, seorang jururawat, Aruna Shanbaug, hampir maut selepas diserang dan diliwat oleh seorang pencuci di hospital tempat dia bertugas.

Dia diserang menggunakan rantai besi dan hampir menemui ajal, namun kecederaan yang teruk menyebabkan dia mengalami mati otak dan terlantar di atas katil hospital selama 39 tahun.

Perogolnya hanya dipenjara tujuh tahun atas kesalahan merompak dan cubaan membunuh, namun langsung tidak disabit atas kesalahan rogol kerana tiada bukti kukuh.

Berbeza dengan kes Jyoti, bantahan di seluruh India dan desakan pindaan undang-undang yang disuarakan ramai pihak, dilihat mempunyai sedikit harapan untuk perubahan, termasuk mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen tempatan.

Hukuman yang setimpal patut dikenakan terhadap penjenayah, namun perkara utama yang mampu memberi perubahan besar kepada isu serangan seks ke atas wanita di India patut dimulakan dari peringkat institusi kekeluargaan itu sendiri.

Mengikut sistem tradisional India, anak lelaki dibesarkan menjadi seorang yang tegas, bersifat pendesak, kurang toleransi dan tidak bergantung, menyebabkan mereka dominan dalam banyak perkara, sebaliknya anak perempuan dari kecil diajar agar patuh, berkorban, toleransi dan menerima segalanya.
Keadaan itu menjadi budaya sosial dalam masyarakat India, menyebabkan anak perempuan tidak berani untuk membuka mulut menceritakan apa yang berlaku terhadap mereka, malah ibu bapa juga tidak mendorong mereka berbuat demikian.

Dalam keadaan dunia hari ini, wanita di India khususnya tiada pilihan, kerana mereka juga perlu bekerja atau belajar. Persekitaran yang selamat perlu bagi mereka supaya kaum wanita tidak lagi terdedah kepada serangan seksual.
logoblog

Thanks for reading Kes Rogol Pelajar Perubatan di India Cetus Kebangkitan Bantah Jenayah Seks

Previous
« Prev Post

No comments: