Wednesday, January 09, 2013

Najib Bakal Terima Ijazah Kehormat Daripada Universiti Ohio

  NR       Wednesday, January 09, 2013
SHAH ALAM 7 Jan. - Universiti Ohio, Amerika Syarikat akan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada 15 Januari ini .

Penyampaian ijazah tersebut diadakan sempena Siri Syarahan Tun Razak anjuran bersama universiti tersebut dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menampilkan syarahan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan. 

Ketua Unit Korporat UiTM, Alfina Abu Bakar berkata, penyampaian ijazah kehormat oleh Universiti Ohio kepada Perdana Menteri adalah bagi mengiktiraf jasa dan pencapaian beliau dalam menaikkan dan memartabatkan Malaysia di arena antarabangsa.

''Bagi pembuka acara bersejarah tersebut, UiTM menjemput Dr. Surin Pitsuwan sebagai tetamu terhormat dalam acara 'Tun Razak Lecture Series 2013,' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, syarahan Tun Razak adalah acara dwitahunan bersempena nama Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Razak sebagai pemimpin tersohor negara ini.

Beliau berkata, syarahan tersebut akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tersohor yang mempunyai pengalaman luas dalam kepakaran masing-masing.

''Pelbagai isu semasa, cabaran, pengalaman dan harapan pemimpin dapat dikongsi di dalam majlis ilmu tersebut untuk dijadikan teladan dan semangat bagi menyedarkan para pendidik.

''Kesedaran tersebut amat penting bagi membuka fikiran para pendidik tentang idea baharu agar dapat membentuk masyarakat cerdik pandai pada masa hadapan," katanya. 

Katanya, orang ramai yang mahu mendapatkan keterangan lanjut mengenai program tersebut boleh menghubungi Suria Majdi di talian 019-2893782.
logoblog

Thanks for reading Najib Bakal Terima Ijazah Kehormat Daripada Universiti Ohio

Previous
« Prev Post

No comments: