Wednesday, January 09, 2013

Nur Izzati Graduan Sulung Terbaik Kursus Diploma Pembantu Perubatan

  NR       Wednesday, January 09, 2013

SHAH ALAM 6 Jan. - Anak penyelia Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) muncul sebagai graduan terbaik kursus Diploma Pembantu Perubatan pada Majlis Konvokesyen Ke-12 Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Nur Izzati Ismail, 22, yang merupakan antara 27 graduan sulung dalam bidang pengajian Diploma Pembantu Perubatan yang ditawarkan MSU bermula tahun 2011, menjadi pelajar terbaik selepas memperolehi purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.93.

"Selain memperolehi maklumat pensyarah, saya dan rakan-rakan sering mengadakan perbincangan bersama dan mencari maklumat tambahan di perpustakaan serta melalui atas talian.

"Walaupun tidak mempunyai senior, saya dan rakan-rakan tidak pernah menjadikan ia sebagai halangan, malah perkara ini memberikan kami kekuatan dan semangat bagi membuktikan kami juga boleh memperolehi kejayaan," katanya ketika ditemui di sini.

Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan dua graduan sulung untuk kursus Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif menamatkan pengajian.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Imran Khan Jallaldeen, 25, muncul pemenang Anugerah Pingat Emas Canselor.

Anak bongsu daripada dua beradik yang menjalani pengajiannya selama lima tahun di Bangalore, India, bersyukur apabila berjaya mengharungi pelbagai rintangan sebelum menamatkan pengajian.

"Buat masa ini, saya masih menunggu panggilan hospital kerajaan dan bersedia berkhidmat dan mengaplikasikan pengalaman yang diperolehinya kepada masyarakat terutama dalam bidang pembedahan jantung," katanya.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 1,027 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana masing-masing melibatkan 43 bidang pengajian iaitu jumlah terbesar semenjakkonvokesyen pertama MSU.

Majlis Konvokesyen ke-12 itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah selaku Canselor MSU.

Hadir sama Pro Canselor MSU, Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Nur Izzati Graduan Sulung Terbaik Kursus Diploma Pembantu Perubatan

Previous
« Prev Post

No comments: