Friday, January 25, 2013

Pelajar Sekolah Maut, Motosikal Ditungganginya Rempuh Belakang Lori

  NR       Friday, January 25, 2013
HULU TERENGGANU - "Dalam kesakitan, saya cuba bangun pergi kepadanya dan memanggil namanya tetapi tidak bersahut. Hati saya berdetik dia sudah tiada kerana melihat keadaannya tidak bergerak dan berlumuran darah."
Demikian cerita Mohd Haikhri Abdul Rashid, 16, pembonceng motosikal yang terselamat dalam kemalangan maut di Kampung Tok Randok melibatkan rakan baiknya, Muhammad Azhan Zol, 16, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bukit Diman dari arah Pekan Ajil.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam semalam itu, motosikal Honda EX5 ditunggang Muhammad Azhan dipercayai cuba memotong sebuah lori tiga tan sebelum merempuh belakang kereta Proton Iswara yang ketika itu berada di hadapan lori dan ingin membelok ke kanan.

Akibat rempuhan itu, Mohd Haikhri terjatuh ke sebelah kanan jalan, manakala rakannya tercampak ke bawah lori sebelum digilis dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut Mohd Haikhri, mereka berdua keluar dari rumah kira-kira jam 8.45 malam dan meronda-ronda di Pekan Ajil sebelum berhenti di sebuah stesen minyak di Tok Randok, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Hanya beberapa meter selepas kami berhenti di stesen minyak, tidak sangka kami terlibat dalam kemalangan hingga meragut nyawa kawan baik saya. Ia berlaku sekelip mata dan sehingga kini, saya masih terbayang keadaannya yang terbaring kaku atas jalan raya.

“Melihatnya ketika itu, saya sudah jangka kawan baik saya ini telah tiada tetapi pada masa sama memujuk diri dengan mengandaikan dia masih hidup. Saya tidak tahu keadaan sebenar dirinya selepas itu kerana telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu oleh orang ramai," katanya.

Menurut Mohd Haikhri, sebelum kejadian arwah berubah menjadi terlalu pendiam, tidak seperti selalu.

“Dia memang seorang yang pendiam tetapi tetap bergurau senda dengan saya tetapi akhir-akhir ini dia berubah menjadi terlalu pendiam. Malah, petang semalam (kelmarin) dia hanya berdiam diri walaupun bersama saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, di sini, semalam.

Sementara itu, ibu Muhammad Azhan, Malini Ibrahim, 38, berkata, seminggu kebelakangan ini, anak sulung daripada lima beradik itu menjadi manja dan akan berbaring atas ribaannya selepas pulang dari sekolah.

“Saya hanya mengusap-usap kepalanya apabila dia berbaring atas ribaan dan tidak terfikir apa-apa kerana beranggapan dia ingin bermanja walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Malah, sebelum keluar rumah malam tadi (semalam), dia juga sempat berbuat demikian. Abang juga ada berkata ingin membelikan biskut paling sedap untuk saya.

“Ketika Abang memeluk dan mencium saya, hati saya rasa lain tetapi tidak mengendahkannya. Saya terkejut apabila salah seorang rakannya memberitahu dia telah meninggal akibat kemalangan,” katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2013
logoblog

Thanks for reading Pelajar Sekolah Maut, Motosikal Ditungganginya Rempuh Belakang Lori

Previous
« Prev Post

No comments: