Wednesday, January 09, 2013

UiTM Bukit Besi Dibuka Jun Ini, Perkenal Pengajian Baru Diploma Perkapalan

  NR       Wednesday, January 09, 2013

MARANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bukit Besi di Dungun yang akan dibuka dan memulakan pengajian Jun ini akan memperkenalkan satu bidang pengajian baru iaitu Diploma Kejuruteraan Perkapalan memandangkan Terengganu mempunyai kekuatan dalam bidang berkenaan sejak sekian lama.

Rektor UiTM Kampus Dungun, Prof Madya Tengku Yusof Tengku Mahmud berkata, Diploma Kejuruteraan Perkapalan itu adalah pengajian baru diperkenalkan UiTM pada tahun ini disebabkan kepakaran negeri itu sendiri dalam pembinaan kapal dan bot untuk tujuan pengkomersialan.

"Kita akan mendapatkan kerjasama pakar-pakar pembuat kapal dan bot di negeri ini khususnya di Pulau Duyong, Kuala Terengganu bagi mendapatkan pendedahan kepada UiTM kerana Terengganu sentiasa ke hadapan dalam teknologi pembinaan kapal di negara ini.

"Dengan program baru itu, diharap kita akan mendapat tunjuk ajar teknologi yang digunakan oleh pembuat-pembuat kapal dan bot negeri itu dengan baik.


Kita akan mampu buat pelbagai kapal pengangkutan, pelancongan atau kapal kerja-kerja cari gali dan sebagainya dengan kepakaran anak tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama persefahaman dalam bidang pelancongan antara Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dengan UiTM Kampus Dungun di sini, semalam.

Tengku Yusof berkata, selain Diploma Kejuruteraan Perkapalan, UiTM Kampus Bukit Besi yang akan dibuka itu juga akan menempatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia dan akan mengambil pelajar bagi fasa pertama seramai 1,500 orang.

"Diploma Kejuruteraan Kimia yang sedia ada di Kampus UiTM Dungun akan dipindahkan ke Kampus UiTM Bukit Besi manakala kekosongan di bangunan kampus Dungun akan dimasukkan program lain atau ditambah pelajar dengan program sedia ada," katanya.

UiTM Kampus Bukit Besi mula dibangunkan pada 2010 di atas tapak seluas 120 hektar melibatkan perbelanjaan RM110 juta.

"Bagi fasa pertama ini, Kampus UiTM Bukit Besi itu kita baru bangunkan 30 peratus dan fasa berikutnya akan berterusan dibangunkan sehingga 2015.

"Buat permulaan, UiTM Kampus Bukit Besi hanya mengadakan pengajian peringkat diploma sahaja tetapi menjelang 2015 kita turut mengadakan pengajian Ijazah dengan penempatan pelajar sehingga 5,000 orang," katanya.- Bernama
logoblog

Thanks for reading UiTM Bukit Besi Dibuka Jun Ini, Perkenal Pengajian Baru Diploma Perkapalan

Previous
« Prev Post

No comments: