Tuesday, February 05, 2013

9 IPTS Bermasalah Jalani Semakan Kelestarian Bermula Febuari Ini

  NR       Tuesday, February 05, 2013
CYBERJAYA 31 Jan. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyemak kelestarian sembilan buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bermasalah bermula Februari ini.

IPTS terbabit ialah Universiti Selangor (Unisel); Kolej Universiti Insaniah (KUIN); Malaysian University of Science and Technology (MUST); Asian Institute of Medicine, Science & Technology (AIMST) University; Twintech University College of Technology; Kolej Universiti Islam Selangor; Linton University College; Kuala Lumpur Metropolitan University College; dan Lincoln University College. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan menerusi inisiatif yang baharu diperkenalkan itu bertujuan mengesan perjalanan sesebuah IPTS seperti tadbir urus dan perkhidmatan yang ditawarkan.

''Kita pilih secara rambang lebih-lebih lagi kalau sesebuah universiti itu sentiasa mendapat liputan dan dalam perhatian pihak masyarakat berasaskan kepada kelemahan atau aduan diterima.

''Terdapat hampir 70 buah universiti dan kolej universiti swasta di negara kita dan mereka ini pemain yang akan menentukan kita berjaya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di peringkat global dan rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Rujhan Mustafa; Canselor UniMy, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan; Dekan Sekolah Kejuruteraan Universiti Melbourne, Prof. Iven Mareels dan Pengerusi Prestariang Berhad, Datuk Ramli Abbas dam.

Mohammed Khaled menegaskan, kerajaan mengambil berat soal perkhidmatan dan kualiti penawaran program pengajian termasuk infrastruktur yang disediakan.

''Kajian semakan ini akan dilakukan oleh wakil-wakil dari IPT awam dan IPTS terpilih bermula pertengahan Februari," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya beliau berkata, UniMy ditubuhkan sejajar dengan keperluan negara untuk melahirkan modal insan yang dapat membangunkan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memandangkan kebanyakan graduan ICT tidak memenuhi kehendak pasaran.

Menurutnya, sesebuah negara yang mahu membangunkan ekonomi berasaskan inovasi perlu melahirkan modal insan yang berkelayakan untuk membangunkan program perisian dan bukannya sebagai pengguna ICT semata-mata.

''Jawatankuasa Kabinet Modal Insan setuju bahawa di negara kita perlu ada universiti yang bertanggungjawab melahirkan pelajar sedemikian jadi kita benarkan universiti swasta mengambil tanggungjawab ini dan mendapat sambutan," katanya.

Sementara itu, Dr. Halimaton berkata, universiti butik itu menyediakan pengajian peringkat asas (setahun), sarjana muda (tiga tahun) dan sarjana (setahun) dan setiap pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat sarjana.

''Kumpulan pertama akan memulakan pengajian pada Mei depan dengan 300 pelajar peringkat asas, 300 peringkat ijazah dan pelajar ijazah lanjutan, menjelang 2016 kita optimis dapat lahirkan 3,000 graduan.

''Kita percaya minat pelajar akan dapat ditingkatkan dan kewujudan UniMy ini dapat memenuhi keperluan melahirkan 10,000 modal insan menjelang 2020 untuk membangunkan program perisian dalam negara," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 9 IPTS Bermasalah Jalani Semakan Kelestarian Bermula Febuari Ini

Previous
« Prev Post

No comments: