Thursday, February 07, 2013

Kakitangan PTPL Sarawak diraikan

KUCHING 5 Feb. - Sebanyak 54 kakitangan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak diraikan dalam majlis jamuan tahunan penghujung Januari lalu.

Majlis berkenaan bertujuan memberi ruang kepada kakitangan untuk bersama dalam suasana rasmi selain waktu bekerja di pejabat di samping mengeratkan hubungan antara kakitangan yang terdiri daripada pelbagai jabatan.

Suasana majlis dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Kumpulan Kolej PTPL dan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Prof. Datuk Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid. 

Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, aktiviti itu diharap dapat memberi ruang kepada kakitangan merehatkan minda dan berkenalan secara lebih rapat.

"Kakitangan juga digalakkan melibatkan diri dalam semua acara yang disediakan dalam malam jamuan tahunan ini supaya pihak pengurusan dapat mengenal pasti bakat-bakat lain dalam diri kakitangan yang sukar menonjol sekiranya hanya ditumpukan di tempat kerja semata-mata.

"Saya berharap aktiviti seumpama ini diteruskan pada masa akan datang dan seharusnya membabitkan semua jabatan yang ada di Kolej PTPL Sarawak," katanya.

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor MSU dan Kumpulan Kolej PTPL, Datuk Dr. Junainah Abdul Hamid; Pengetua PTPL Sarawak, Aidil Adzhar Abu Samah dan Ketua Akademik Kolej PTPL Sarawak, Siti Rohaya Mahmud.

Sementara itu, sebanyak 10 persembahan ditampilkan dalam majlis berkenaan antaranya persembahan video, tarian, lakonan dan nyanyian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...