Thursday, February 07, 2013

Kelab MyAgrosis UiTM giat kembang perniagaan

MACHANG 5 Feb. - Kedudukan Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan sebagai kelab terbaharu di kampus itu tidak menghalang ahlinya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan aktiviti kelab lain.

Menurut Presiden kelab tersebut, Norwakilah M. Kamis, kelab itu kini mempunyai sebanyak 42 ahli aktif dan lebih 300 ahli biasa walaupun ditubuhkan Julai tahun lalu.

Katanya, mereka menyertai pelbagai program peringkat universiti bagi membantu memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya usahawan tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Kami tidak melepaskan peluang membuka gerai dalam beberapa program seperti Indie Fest, Mini Karnival UiTM dan Karnival Keusahawanan tahun lalu. Malah, kami pernah menganjurkan 'Parti Durian' dan berjaya mendapat keuntungan sehingga RM8,000.

"Tumpuan khusus sekarang adalah memastikan kedai K-Shoppe kami yang dibuka dalam bangunan Pusat Pelajar mendapat sambutan baik daripada warga kampus tidak kira kakitangan atau pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Norwakilah yang merupakan pelajar semester empat jurusan Pengajian Perniagaan berkata, kedai K-Shoppe yang berada di bawah pengurusan Exco kelab, Muhamad Hafiy Kamarudin, 19, menyediakan pelbagai barangan keperluan seperti makanan dan minuman selain produk jenama Agromas yang dipasarkan FAMA.

Jelasnya, mereka beruntung kerana mendapat suntikan modal sebanyak RM40,000 daripada FAMA untuk membuka kedai tersebut selain merancang melebarkan perniagaan dengan membuka sebuah lagi kiosk khusus menjual air kopi.

Kelab MyAgrosis dibuka di 20 universiti awam dalam negara sejak 2011 dan dipadankan dengan 12 agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memupuk minat pelajar kepada sektor perniagaan berasaskan pertanian.

Menurut Norwakilah, bidang perniagaan adalah bidang yang amat mengujakan dan pelbagai peluang disediakan menerusi Kelab MyAgrosis tidak patut dilepaskan pelajar sepertinya.

Katanya, selain berpeluang mengikuti kursus keusahawanan dan lawatan sambil belajar anjuran FAMA ke negeri seperti Kedah dan Sabah tahun ini, lebih 100 ahli kelab itu yang sudah memiliki kad MyAgrosis berpeluang meminjam antara RM30,000 hingga RM40,000 daripada Agrobank untuk menjalankan sebarang projek perniagaan.

"Saya harap lebih ramai pelajar tertarik untuk menjadi ahli kelab ini, marilah kita sama-sama menjadi sebahagian generasi baharu yang boleh membuktikan bidang pertanian boleh menjadi bidang yang akan memajukan negara," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...