Thursday, February 07, 2013

Melaka Ambil 3 Anak Angkat Palestin Mac Ini

MELAKA 3 Feb. - Kerajaan negeri bakal mengambil tiga anak yatim dari Palestin untuk dijadikan anak angkat pada Mac ini dan akan membiayai persekolahan mereka di negara berkenaan sehingga ke peringkat universiti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pada peringkat awal ini, hanya tiga remaja Palestin berusia 12 hingga 15 tahun itu akan diambil sebagai anak angkat kerajaan negeri dan akan mengambil lagi tujuh orang pada masa akan datang.

Menurutnya, tindakan berkenaan adalah sebagai usaha dan sumbangan kerajaan negeri untuk mengurangkan beban keluarga remaja berkenaan selain memberikan peluang kepada mereka untuk mengubah nasib keluarga mereka apabila tamat pengajian kelak.

"Selain membantu dari segi kewangan dan sokongan moral, mengambil anak angkat dari Palestin ini juga sebagai satu usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat negara berkenaan.

"Setakat ini kita mempunyai dana yang mencukupi bagi membiayai persekolahan mereka hingga ke peringkat universiti dan berharap akan mendapat sumbangan dari pihak-pihak lain supaya lebih ramai anak yatim dari Palestin dapat diambil sebagai anak angkat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar The Untold Story of Gaza anjuran World Assembly of Youth (WAY) dengan kerjasama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di auditorium Yayasan Melaka, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Turut hadir Presiden WAY, Datuk Idris Harun yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu dan wartawan bebas dari Britain, Harry Fear.

Mohd. Ali berkata, setakat ini kerajaan negeri telah berjaya mengumpulkan lebih RM680,000 hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu rakyat Palestin dan akan menggunakan sebahagiannya untuk membiayai persekolahan anak angkat berkenaan bermula Mac ini.

Katanya, anak angkat itu akan menjalani kehidupan seperti biasa di Palestin namun kerajaan negeri akan menanggung persekolahan serta memantau pelajaran mereka di sekolah di negara berkenaan sehingga berjaya menamatkan pengajian di Universiti of Gaza di Palestin.

Pada seminar itu, kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi di negeri ini hadir bagi mendengar pengalaman Harry dalam membuat liputan berita di Gaza ketika wilayah itu diserang tentera Israel beberapa bulan lalu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...