Thursday, February 07, 2013

Pelajar Politeknik Kuala Terengganu teruja terima BB1M

KUALA TERENGGANU 5 Feb. - Mungkin terdapat segelintir pelajar memandang sebelah mata pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 oleh kerajaan tetapi perkara itu berbeza bagi pelajar seperti Muhammad Shahrul Afizan Abd. Hadi, 19.

Pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) yang menerima bantuan itu semalam sememangnya menantikan majlis penyerahan tersebut kerana banyak yang ingin dibelinya tanpa perlu menyusahkan ibunya yang selama ini bekerja keras menyara keluarga.

"Ayah saya meninggal kerana pendarahan otak ketika saya berumur 10 tahun dan selepas itu ibu yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah mencari rezeki untuk menampung keperluan kami sekeluarga.

"Jadi, baucar bernilai RM250 ini sangat penting untuk saya membeli buku. Ia dapat mengurangkan beban ibu dalam menyediakan duit belanja kepada saya," kata pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik itu yang berasal dari Bukit Tunggal, di sini.

Muhammad Shahrul Afizan adalah antara 394 pelajar PKT yang menerima baucar dalam majlis penyerahan yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Sementara itu, Wan Nurhidayah Wan Ramli, 19, berjanji menggunakan baucar RM250 itu untuk mendapatkan dua buah buku rujukan Media Digital berharga RM50 setiap satu seperti yang ditetapkan pensyarahnya, selain beberapa buku lain.

Pelajar tahun dua Diploma Teknologi Maklumat ini menambah, memandangkan dia bukanlah peminjam Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), maka BB1M meringankan bebannya untuk mendapatkan buku yang diperlukan.

"Untuk tahun lepas sahaja, saya belanjakan hampir RM400 untuk beli buku rujukan," katanya.
Bagi Arvinth Suppaya, 19, yang merupakan kepada anak pemandu lori berkata, pemberian BB1M melegakannya kerana tidak perlu menunggu wang kiriman ayahnya untuk membeli buku-buku yang sememangnya agak mahal.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, anak kelima daripada enam beradik ini sudah mempunyai senarai buku yang mahu dibelinya dan amat berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian baucar berkenaan.

Bagi pelajar Diploma Teknologi Maklumat, Nurin Jazlina Mohd., 19, dari Kampung Atas Tol, dekat sini, dia berjanji menggunakan baucar terbabit bagi mendapatkan bahan bacaan berfaedah yang boleh membantu pembelajarannya.

"Saya akan cuba dapatkan di pameran buku yang diadakan di Perpustakaan PKT terutama berkaitan kursus yang saya ambil," ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...