Thursday, February 07, 2013

Salah guna BB1M boleh dikenakan tindakan - Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU 4 Feb. - Pelajar yang menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di negeri ini diingatkan tidak menyalahgunakan pemberian itu bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, beliau yakin tindakan lebih tegas kali ini akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang berbuat demikian.

"Saya percaya tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan kemudahan dan boleh dihukum sehingga lima tahun penjara termasuk didenda dan disebat.

"Walaupun tahun lepas kita dapat maklum tentang perkara ini, namun tiada tindakan diambil kerana mereka ini gagal dikesan. Jadi, saya percaya pihak berkenaan akan mengambil tindakan lebih tegas tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan BB1M bernilai RM250 tiap satu kepada 394 pelajar Politeknik Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Politeknik itu merupakan institusi pengajian tinggi pertama di negeri ini yang menerima BB1M tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad Razif turut menasihatkan pemilik kedai buku tidak melayan mana-mana pelajar yang ingin menjual baucar buku tersebut.

"Mereka perlu bertegas dalam hal ini kerana ini untuk masa depan anak-anak mereka juga. Jadi, jangan bekerjasama dengan mana-mana pelajar yang ingin jual baucar buku kepada mereka," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...