Monday, February 04, 2013

UMK Berusaha Tingkatkan Imej Berteraskan Keusahawanan Bertaraf Dunia

  Pengajar.Info       Monday, February 04, 2013
KOTA BAHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang berusaha meningkatkan imej sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam berteraskan keusahawan bertaraf dunia.

Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Prof Dr Farok Zakaria berkata antara aktiviti yang dijalankan ialah menganjurkan program “Kelantan-UMK Di Mata Dunia” hampir sebulan mulai 12 Februari ini.

Katanya, program bertemakan “Pembelajaran Budaya dan Penglibatan Masyarakat” (ILCOME) itu membabitkan pengambilan 10 pelajar Jepun untuk berkampung di kampus UMK dalam tempoh berkenaan.

“Program julung kali itu akan dikendalikan oleh Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK dengan kerjasama Oita Prefectural College of Arts and Culture (OPCAC) dari Jepun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, pelajar Jepun terbabit akan berada di negeri ini selama tiga minggu untuk menyertai pelbagai aktiviti bersama terutama pendedahan kepada bahasa dan budaya penduduk tempatan.

“Tujuan utama program ini ialah untuk mempromosikan Kelantan dan UMK kepada masyarakat antarabangsa dan untuk tahun ini khusus kepada pelajar Jepun,” katanya.

Dr Farok berkata, pelbagai peluang perkongsian budaya akan diperolehi melalui program ini, antara lain akan memberi peluang kepada pelajar tempatan mengikuti kursus bahasa Jepun, berinteraksi dalam bahasa Jepun dengan pelajar dari OPCAC melalui program akademik atau bukan akademik.

Katanya, dalam tempoh tersebut, pelajar Jepun ini akan dibawa melawat pelbagai lokasi di sekitar negeri Kelantan melalui program lawatan ke tapak industri, sejarah dan menyertai program inap desa di Pantai Sri Tujuh dan Kampung Teluk Rajuna, Tumpat.

Peserta program ini juga berpeluang bertemu dan menjalani aktiviti bersama dengan pelajar Universiti Prince of Songkla, Thailand di MRSM Tumpat.

Satu kolokium akan dianjurkan untuk memberi peluang kepada warga UMK dan OPCAC berbincang mengenai peluang penyelidikan yang boleh memberi manfaat bersama.

Menurut Dr Farok program itu turut mendapat kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat serta Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Kelantan dan Yayasan Jepun. – BERNAMA
logoblog

Thanks for reading UMK Berusaha Tingkatkan Imej Berteraskan Keusahawanan Bertaraf Dunia

Previous
« Prev Post

No comments: