Tuesday, July 16, 2013

Ayah Kecewa Anak Dapat 7A Dalam SPM Tidak Diterima Masuk Ke IPG


SIBU: Seorang ayah melahirkan rasa kecewa rentetan kegagalan anak perempuannya diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

Umin Dantang, 49, berkata beliau berasa hairan bagaimana anak perempuannya itu boleh diketepikan daripada mengikuti pengajian sedangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anaknya memenuhi syarat diperlukan.

“Baru-baru ini, anak perempuan saya, Ollymena Sua, 17, dipanggil temu duga untuk memasuki maktab di Miri.

“Bagaimanapun, selepas dua kali pemilihan, anak saya masih tidak terpilih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, anak kedua daripada empat adik-beradik itu meminati profesion perguruan sejak kecil lagi.
Pada peperiksaan UPSR, anaknya itu memperolehi 4A dan 1B manakala dalam peperiksaan PMR, Ollymena memperolehi 6A.

Menurut Umin, Ollymena juga sebelum ini pernah ditawar untuk bersekolah di asrama penuh.
Bagaimanapun, tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana tidak mahu berpisah jauh daripada keluarga.

Umin berkata Ollymena memperolehi 7A dalam peperiksaan SPM lalu dan keputusan tersebut telah melepasi syarat kemasukan ke IPG.

Katanya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menetapkan 5A untuk kemasukan ke IPG bagi Sabah dan Sarawak dan 7A bagi Semenanjung Malaysia.

“Kalau anak saya berasa kecewa kerana gagal dipilih masuk ke IPG, saya faham kerana dia amat meminati tugas sebagai seorang pendidik,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap pihak berkenaan dapat mempertimbang semula tindakan mengetepikan anaknya daripada mengikuti pengajian di IPG.

Dalam pada itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dalam kenyataannya pada 10 Julai lalu dipetik sebagai berkata: “Lepasan SPM di negeri ini kurang minat untuk menjadi guru. Ini kerana, mereka lebih cenderung melanjutkan pengajian dalam bidang lain.

“Lepasan SPM di negeri ini lebih gemar mendalami ilmu kedoktoran, kejuruteraan dan kesenian,” katanya.
Fatimah yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan negeri, berkata bagi menangani isu itu, Kementerian Pendidikan menetapkan anak Sarawak dan Sabah yang memperolehi 5A dalam SPM layak memohon ke IPG berbanding 7A bagi calon dari Semenanjung Malaysia.

“Penetapan syarat minimum itu juga mengambil kira jumlah penduduk di kedua-dua negeri serta jumlah lepasan SPM dari Sabah dan Sarawak yang memperolehi keputusan 7A,” katanya.

- Utusan Borneo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...