Tuesday, July 09, 2013

Dua Blok Bangunan Dua Tingkat SMK Simanggang Musnah Teruk Dalam Kebakaran

Bangunan pentadbiran, kelas tingkatan empat SMK Simanggang ranap dalam kebakaran

SRI AMAN: Duah blok bangunan dua tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang di sini musnah teruk dalam kejadian kebakaran pada kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Dua blok bangunan yang musnah terbakar itu ialah bangunan pentadbiran guru dan bangunan kelas pelajar tingkatan empat sekolah terbabit.

Kejadian dipercayai bermula dari blok bangunan kelas tingkatan empat sebelum ia mula merebak ke blok bangunan pentadbiran guru yang berdekatan.

Sementara itu api marak dengan pantas berikutan angin bertiup kencang semasa kejadian menyebabkan dua blok bangunan itu musnah sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Bagaimanapun tiada kehilangan nyawa berlaku dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang.

Sejurus menerima panggilan itu, pihaknya terus memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, ujarnya.

“Kemudian kami bersama anggota bomba bergerak ke tempat kejadian pada jam 5.13 petang untuk menangani kejadian terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya lagi, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak polis.

“Maklumat awal mengatakan tiada guru atau pelajar yang berada di blok bangunan itu ketika berlaku kebakaran terbabit,” ujar beliau.

Difahamkan masalah tekanan air rendah telah mengganggu usaha awal anggota bomba memadamkan kebakaran itu.
Anggota bomba yang melakukan kerja memadam kebakaran terpaksa bergantung dengan sebuah lori tangki simpanan air yang terpaksa dibawa masuk ke lokasi kejadian.

Sementara itu anggota bomba berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran itu pada jam 6.30 petang.

Kejadian tersebut mendapat perhatian orang ramai berikutan SMK Simanggang yang dibina pada 1962 itu jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar.

Ada segelintir ibu bapa sebaik sahaja menerima berita kebakaran itu terus ke tempat kejadian bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka yang tinggal di asrama sekolah tersebut.







No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...