Saturday, July 27, 2013

Pelajar asing IPTA, IPTS bawa fahaman Syiah?


SHAH ALAM -  Pensyarah di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti  Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim mendakwa faktor penyebaran ajaran Syiah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) adalah berpunca daripada kehadiran pelajar luar terutama dari Timur Tengah terutama dari Iraq dan Iran.

Menurut Izhar Ariff, pelajar terbabit dipercayai membawa ajaran tersebut dari negara asal dan cuba menyebarkannya di kalangan pelajar tempatan.

“Keadaan ini bagi saya sangat membimbangkan.

"Saya pernah melihat di sebuah masjid, ada mahasiswa sedang sujud di atas batu ketika solat Jumaat. Itu lambang ajaran syiah,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online.

Bagaimanapun Izhar Ariff menjelaskan bahawa ajaran syiah di IPTA dan IPTS masih belum menonjol.

“Mereka ini (pengikut ajaran Syiah) masih berdiam diri, tidak berani menonjolkan diri lagi, walaupun sudah bertambah pengikutnya,”  katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak terutama jabatan agama untuk ‘bersatu hati’ mengeluarkan fatwa pengharaman ajaran Syiah di Malaysia.

“Tiada kompromi, ajaran Syiah patut diharamkan di Malaysia, semua pihak harus bersatu hati.

“Baru ajaran Syiah boleh disekat,” katanya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 telah menarik balik kebenaran mengamalkan mazhab Syiah aliran Al–Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia, menjadikan semua amalan Syiah tidak diterima di negara ini.

Fatwa itu menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...