Tuesday, August 20, 2013

Aktivis Mahasiswa Rancang Demonstrasi Bantah CCRIS PTPTN

Kumpulan aktivis mahasiswa merancang untuk mengadakan demonstrasi berhubung pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai peminjam ingkar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikenakan tindakan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Adam Adli
Aktivis, Adam Adli Abdul Halim, berkata mahasiswa tidak memandang remeh isu berkenaan, dan mereka tidak akan membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

"Perbincangan sedang dijalankan. Kita pasti akan melakukan aksi bantahan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Idris ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS tersebut, peminjam PTPTN ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

Adam berkata: "Selepas kenyataan yang dikeluarkan menteri, banyak kumpulan pelajar dan badan lain termasuk dari sayap parti politik mulai duduk berbincang, dan sedang berkira-kira untuk menunjukkan respon kembali.”

Menurut mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu, tindakan kementerian jelas membuktikan bagaimana PTPTN tidak pernah diwujudkan untuk tujuan membela kebajikan mahupun membantu sesiapa, melainkan hanya perangkap untuk terus membuat keuntungan hasil dari kesusahan pelajar sendiri.

"Tidak wajar untuk menyenaraikan individu yang berhutang dengan pinjaman pendidikan ke dalam CCRIS memandangkan golongan ini tidak berhutang untuk memiliki sebarang aset atau untuk membuat sebarang keuntungan seperti pinjaman perniagaan.

"Dengan keadaan ekonomi dan kadar pengangguran yang meningkat, ditambah dengan dasar kerajaan yang tidak bijak seperti umur persaraan, tidak hairan ramai graduan bakal terus jadi hamba kepada hutang,” katanya.

Adam berkata, menggunakan ugutan seperti penyenaraian CCRIS itu tidak menyelesaikan sebarang masalah, melainkan hanya mendedahkan bagaimana singkatnya pemikiran menteri bertanggungjawab.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata, pihaknya akan berusaha untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan perkara itu.

"Kami rancang untuk bertemu dengan Khairy dan bawa isu ini. Kalau tidak selesai juga kami merancang akan berdemonstrasi sekali lagi," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kami bantah tindakan CCRIS ini dan ia makin membebankan. Sedangkan hasrat Khairy nak selesaikan isu kebankrapan anak muda tetapi menteri pendidikan semakin nak senarai hitamkan anak muda," katanya.

Adam juga berkongsi pendapat sama, dan berkata:"Perkembangan terbaru ini menunjukkan betapa Idris Jusoh bukan orang yang layak untuk mentadbir hal ehwal pendidikan terutama pendidikan tinggi. Beliau tidak memahami ehwal dan kebajikan pelajar."

Pada April 2012, sekumpulan 300 mahasiswa termasuk Adam dan Safwan mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN di Dataran Merdeka.

Mereka berarak membawa gambar Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak dan Datuk Seri Khaled Nordin yang ketika itu menteri pengajian tinggi dengan dikalungkan bunga malai sebagai simbolik meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Kumpulan mahasiswa itu kemudiannya mendirikan khemah di kawasan dataran bersejarah dan merancang akan terus berkhemah di kawasan tumpuan pelancong itu sehingga Perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April. – 20 Ogos, 2013.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...