Tuesday, August 06, 2013

Masalah Tekanan Air 3 Buah Sekolah di Kawasan Sri Aman Mendapat Perhatian YB

SRI AMAN: Masalah tekanan air yang sering melanda tiga sekolah menengah di kawasan Sri Aman selama ini nyata mendapat perhatian serius daripada wakil rakyat di sini.

Ia terbukti apabila Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis tampil menghulurkan bantuan berupa 50 tangki simpanan air berkapisiti 2,000 liter kepada tiga sekolah tersebut.

Daripada jumlah itu, 30 tangki simpanan air diberi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan SMK Sri Aman dan SMK St Luke yang masing-masing menerima 10 tangki simpanan air terbabit.

Menurut Harden, bagi menyelesaikan masalah ini beliau terpaksa menggunakan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) untuk membeli kesemua tangki simpanan air itu daripada syarikat Welda bernilai RM500 untuk seunit.

“Saya berharap tangki itu sedikit sebanyak mampu menyelesaikan masalah kekurangan air di tiga sekolah menengah itu nanti,” katanya pada Majlis Penyerahan Tangki Simpanan Air di SMK Simanggang kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut bercadang mahu menambah sejumlah 10 buah tangki simpanan air lagi untuk SMK Sri Aman memandangkan 10 tangki air sebelumnya didapati masih belum cukup untuk menampung keperluan pelajar asrama di situ.

Beliau berkata, masalah tekanan air akan dapat diatasi sekiranya cadangan pembinaan stesen kawalan tekanan air di Sri Jaya dan pusat bandar Sri Aman diluluskan oleh kerajaan.


Sumber: Utusan Borneo


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...