Tuesday, August 27, 2013

Pelajar Patah Tangan Kiri Selepas Dipukul Guru Dengan Batang Penyapu

ANGKARA GURU: Keadaan tangan Mohd Fairiz yang berbalut.
(Sisipan) Tangan kiri mangsa kelihatan bengkak akibat tindakan
guru memukulnya menggunakan batang penyapu
.


SIBU: Seorang pelajar tingkatan tiga patah tangan kiri selepas dipukul oleh gurunya menggunakan batang penyapu.

Menurut kenyataan laporan polis yang dilakukan oleh abang mangsa, kejadian yang melibatkan adiknya, Mohd Fairiz Abdul Rahman berlaku di kawasan sekolah pada 21 Ogos lalu.

“Saya memang terkejut mendengar kejadian yang menimpa adik saya setelah dihubungi ibu bapa saya pada Jumaat lalu yang menyatakan dia patah tangan kiri dipukul oleh gurunya.

“Mendengar kejadian berkenaan saya terus bergegas pulang ke Sibu dan bertanya kepada adik saya apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mengakibatkan hal yang amat serius itu.

“Ekoran itu, saya bertindak menghubungi guru berkenaan pada 24 Ogos untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara tersebut.

“Guru berkenaan memberitahu bahawa adik saya melakukan provokasi terhadapnya selama dua tahun dan atas dasar tidak berpuas hati akibat tindakan melampau seorang guru, saya bertindak membuat laporan polis.

“Ini kerana perbuatan guru terbabit bersifat dendam dan bukan berpunca daripada kesalahan disiplin sekolah,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, abang Mohd Fairiz serta ahli keluarga hadir bersemuka dengan pihak sekolah yang melibatkan guru terlibat untuk mendapatkan penjelasan dan membuat keputusan bagi tindakan yang dianggap melampau.

Bagi ayah mangsa, dia tidak menyangka seorang guru yang cukup berpengalaman dalam profesion guru sanggup memperlakukan seorang pelajar sehingga mengakibatkan patah tangan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati tulang tangannya patah tiga dan memerlukan sokongan pada anggota tersebut, tetapi masih menunggu perkembangan semasa.

“Walaupun hakikatnya anak saya seorang pelajar yang nakal di sekolah, apabila terjadinya keadaan yang boleh mengakibatkan anak saya mengalami kecacatan kekal, ia bukan lagi perkara remeh.

“Apa yang berlaku memang amat menyedihkan dan saya rasa amat kesal atas tindakan guru tersebut yang bertindak mengikut emosi dan mempunyai niat yang dipendam terhadap anak saya,” jelas ayah mangsa.

Tambahnya, jika tiada telefon bimbit pada kocek seluar sebelah kiri, beliau merasakan anaknya juga akan mengalami patah pada kaki.

“Ini kerana telefon bimbit anak saya yang ketika kejadian berada dalam kocek kiri seluarnya bengkok dan skrin dalamannya telah pecah dengan teruk.

“Ini menunjukkan kesan pukulan tersebut cukup kuat.

Saya amat sedih dan kasihan melihat situasi anak saya sekarang dan segala urusan yang berkaitan telah diuruskan oleh abangnya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua pihak membuat laporan polis dan difahamkan pihak keluarga telah tampil berunding dengan guru tersebut untuk menyelesaikan masalah serta tuntutan pampasan yang sewajarnya ke atas pelajar terlibat.

Sumber: Utusan Borneo


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...