Sunday, September 29, 2013

1,400 Guru Sandaran Terlatih GAGAL Dapat Kerja

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Kementerian Pendidikan diminta segera mengatasi masalah 1,400 guru sandaran terlatih bagi memastikan mereka mendapat tempat di sekolah kebangsaan di seluruh negara.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu penting kerana masalah tersebut menyukarkan para guru mengambil inisiatif lain bagi mengisi pendapatan ekoran terikat dengan Perjanjian Pendidikan Guru, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

Jelasnya, kontrak tersebut menyatakan para guru berkenaan hendaklah berkhidmat dengan kerajaan untuk tempoh tidak kurang 24 bulan selepas tarikh tamat kursus atau syarat tersebut dibatalkan jika tidak mendapat tempat dalam tempoh setahun.

“Persoalannya, walaupun terdapat kekosongan di sekolah, tenaga pengajar ini tidak diambil bagi mengisi kekosongan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung aduan daripada 460 daripada 1,400 graduan yang tidak mendapat tempat sebagai guru di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Menurut Dominic, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam usaha menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh terdekat.

“Kami mahu mengetahui punca kekosongan jawatan tersebut tidak diisi graduan DPLI dan apakah perbezaan antara DPLI dengan Kursus Dalam Cuti (KDC) yang lebih diberi keutamaan dalam mengisi kekosongan jawatan perguruan," katanya.

Beliau berkata, jika perkara tersebut tidak diselesaikan, dikhuatiri menjejaskan pencen yang bakal diterima oleh mereka selepas bersara.

Sementara itu, seorang guru sandaran yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny, 30, berkata, dia masih menunggu maklum balas daripada pihak kementerian bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Buat masa ini, saya mengambil upah sebagai guru tuisyen bagi menampung perbelanjaan hidup yang semakin meningkat.

“Saya berharap pihak kerajaan prihatin dengan permasalahan kami dan memberi penjelasan sebenar supaya kami tidak tertanya-tanya berhubung status yang tergantung ini," katanya.

Mengulas lanjut, guru terbabit memberitahu bahawa kontrak tersebut menjelaskan, jika didapati melanggar syarat, mereka perlu membayar ganti rugi sebanyak RM80,000.

Sumber: Utusan Malaysia, 11 September 2013 



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...