Tuesday, September 10, 2013

850 Graduan Terima Anugerah Diploma & Sijil Pada Majlis Konvokesyen Ke-6 Politeknik Mukah


Bangun modal insan penuhi agenda ETP, MBE yang beri penekanan kepada aspek inovasi, kreativiti

MUKAH: Kerajaan mahu menjadikan Politeknik sebagai institusi pendidikan teknikal bertaraf global, sekali gus dapat membangunkan modal insan negara bagi memenuhi agenda Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti serta menyediakan Politeknik menghadapi pelbagai senario dan cabaran masa depan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata seiring dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan transformasi pendidikan dan latihan negara, Politeknik dilaksanakan untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama dan menepati kehendak pasaran.

“Generasi depan merupakan modal insan Malaysia yang paling penting dalam usaha kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah negara bangsa maju menjelang 2020 selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3 April 2008.

“Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Politeknik mempunyai peranan khusus untuk menangani perubahan persekitaran pengajian tinggi negara yang bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu tinggi tetapi mempunyai kemahiran pada peringkat tinggi.

“Sehubungan itu, anak-anak bangsa perlu dibela kerana mereka adalah pewaris masa depan negara.

“Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan daya saing negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang mewakilinya.

Seramai 850 graduan menerima anugerah diploma dan sijil pada Majlis Konvokesyen Ke-6 Politeknik Mukah (PMU) di Dewan Serba Guna PMU, di sini semalam.

Selain itu, Taib menyarankan kepada PMU supaya sentiasa sensitif kepada perkembangan semasa yang berlaku terhadap perubahan landskap ekonomi negara dan dunia.

Beliau berkata kursus-kursus yang ditawarkan perlulah mengambil kira perubahan berlaku agar lebih relevan kepada keperluan semasa serta menyuntik elemen-elemen ‘soft-skills’, ‘multi-tasking’ dan keusahawanan dalam memastikan graduan yang dihasilkan berketrampilan serta dapat menyumbang kepada hasrat menjana modal insan berkualiti bagi menjayakan matlamat misi nasional.

“Saya juga berpesan kepada bakal graduan bahawa konvokesyen ini bukanlah bermakna masa untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan berakhir.

“Peningkatan produktiviti dan daya saing negara memerlukan tenaga kerja yang kreatif, berinovasi dan berintegriti.

“Oleh itu, diharapkan agar para graduan dapat terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan  dalam bidang-bidang yang berkaitan pada masa akan datang.

“Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada negeri ini.

“Pembangunan yang sedang dilaksanakan di Mukah, Tanjung Manis, Samalaju memerlukan tenaga mahir ‘soft-skill’ dan ‘hard-skill’ bagi mengimbangi keperluan modal insan yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing,” katanya.

Pada majlis tersebut, Fatimah memberitahu bahawa sekarang ini terdapat 100 kekosongan pekerjaan di Press Metal Sarawak dalam bidang kejuruteraan, pengkhususan elektrik dan mekanikal.

“Peluang seumpama ini harus diambil dengan baik oleh masyarakat kita dan ini adalah satu peluang baik bagi graduan belajar dalam bidang-bidang tersebut serta yang baharu menamatkan pengajian,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Promosi Pendidikan Teknikal dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie, Pengarah Politeknik Mukah Abdubrani Yunus, Residen Bahagian Mukah Supaih Hamdan dan Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili.

Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...