Friday, September 06, 2013

Guru Terbeban, Harga Rumah Tinggi di Bintulu


KUCHING: Harga rumah yang terlalu tinggi di Bintulu sehingga mencecah RM450,000 ke atas sebuah telah menyukarkan golongan guru memiliki atau membeli kediaman di situ.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, perkara tersebut telah menjadi rungutan dalam kalangan ahli KGBS Cawangan Bintulu sejak akhir-akhir ini.

“Sejak akhir-akhir ini, KGBS kerap menerima rungutan ahli-ahlinya khususnya dari cawangan Bintulu berhubung masalah untuk memiliki atau membeli rumah kediaman di Bintulu.

“Berdasarkan tinjauan rambang KGBS Cawangan Bintulu, didapati bahawa harga sesebuah rumah terlalu tinggi sehingga mencecah RM450,000 ke atas.

“Dengan harga yang terlalu tinggi inilah guru-guru khususnya ahli KGBS yang merupakan penduduk tempatan di Bintulu berasa sukar untuk membeli rumah sebagai hak milik dan kediaman keluarga yang dicita-citakan oleh setiap penjawat awam selama ini,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Justeru, melihat kepada senario tersebut di samping menjaga kebajikan guru khususnya bagi ahlinya, Ahmad yang juga setiausaha CUEPACS Sarawak menyeru kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan agar dapat menyediakan perumahan yang berharga mampu milik untuk warga guru di Bintulu.

Dalam pada itu, katanya memandangkan isu ini amat memerlukan pertimbangan yang serius daripada kerajaan negeri, KGBS akan mengatur satu perjumpaan secara khusus dengan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

“Ini sebagai usaha membantu warga guru di bahagian Bintulu khususnya dan bahagian-bahagian lain di negeri ini yang menghadapi isu sama.

“Justeru, KGBS berharap agar perjumpaan dan perbincangan yang dirancang dengan Abang Johari nanti akan mencapai resolusi yang baik dan mencari jalan untuk menangani isu ini demi kebajikan dan perkhidmatan warga guru khususnya mereka yang berkhidmat di bahagian-bahagian yang mengalami isu yang serupa seperti di Bintulu,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...