Tuesday, September 10, 2013

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti


TANJONG KARANG - Tidak mengira latar belakang dan usia, penduduk  di  daerah ini masih berpeluang menuntut ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan meningkatkan kualiti hidup melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Tanjong Karang.

Pengarahnya, Amalulkhair  Sarbini berkata, semua penduduk masih berpeluang untuk mengikuti program dan kursus jangka pendek seperti jahitan  manik,  masakan  kek dan komputer untuk membolehkan kemahiran sedia ada dipertingkatkan.

Menurutnya, setakat ini sambutan amat menggalakkan daripada kakitangan kerajaan yang mahu mengikuti kursus asas komputer tahap satu dan dua manakala golongan suri rumah pula lebih kepada kursus masakan, jahitan dan seni kraftangan.

“Kita sentiasa membuka ruang kepada penduduk yang ingin mengikuti kursus yang diadakan di Kolej Komuniti Tanjong Karang mengikut masa dan tenaga pengajar yang ditetapkan bahkan yuran dikenakan serendah RM5 sahaja sekali gus tidak membebankan.

“Bukan sahaja warga emas, peluang pembelajaran turut diberikan kepada golongan kurang upaya (OKU) kerana mereka lebih berminat kepada seni kraftangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Merdeka Raya di pekarangan Kolej Komuniti Tanjong Karang.

Sementara  itu  mengenai program berkenaan  Amalulkhair berkata, 20 pelajar kolejnya turut berpeluang untuk mewakili daerah ini menyertai Pertandingan Deklamasi Sajak, Penulisan Esei  Kemerdekaan, Nyanyian  sempena  Semarak Kemerdekaan Wilayah

Selangor di Sabak Bernam pada 9 September ini.

“Untuk makluman, kita mempunyai rekod cemerlang pada penganjuran tahun lalu apabila menyapu habis kedudukan satu hingga tiga dalam Pertandingan Deklamasi Sajak dan mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Lukisan Potret Tokoh Kemerdekaan.

“Saya optimis bahawa peserta kali ini akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan mampu menaikkan nama Kolej Komuniti Tanjong Karang ke peringkat lebih tinggi malah usaha serta latihan berterusan menjadi kunci kejayaan kami,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, 3 September

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...