Wednesday, September 11, 2013

USM Kampus Pertama Bebas Tembakau di Malaysia

YAHYA (tujuh dari kiri) bergambar bersama para peserta Bengkel Perancangan Strategik Projek USM Bebas Tembakau di USM, baru-baru ini.

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama melaksanakan polisi bebas tembakau secara komprehensif di negara ini menerusi Projek USM Bebas Tembakau (USMBT).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM Prof Dr Adnan Hussein berkata projek dengan kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Mysihat) itu bertujuan mewujudkan kampus USM 100 peratus bebas asap rokok dan bebas daripada sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penjualan produk tembakau.

Beliau berkata projek USMBT menggunakan pendekatan menyeluruh termasuk penggubalan Polisi USMBT yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 12 Sept tahun lepas.

“Yang paling penting adalah meningkatkan pengetahuan dan mendidik komuniti USM tentang kepentingan kawasan bebas tembakau kepada kesejahteraan warga kampus, seterusnya menggerakkan mereka untuk bukan sekadar menyokong tetapi terlibat sama dalam merealisasikan usaha murni ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek USMBT oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Datuk Dr See Ching Mey, Pengerusi MySihat Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf dan Pengarah Pusat Racun Negara Prof Madya Dr Razak Lajis.

Adnan berkata sebanyak 1,500 pelajar dari ketiga-tiga kampus USM menjadi sukarelawan yang berperanan mempromosi dan menyampai maklumat berhubung projek berkenaan kepada pelajar, staf serta masyarakat.
“Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba daripada projek ini adalah diharapkan mereka berupaya memainkan peranan yang berkesan sebagai duta USM-MySihat dalam memimpin aktiviti kesukarelawanan berkaitan promosi kesihatan kepada masyarakat awam,” katanya.

Pada sidang akhbar kemudian, Adnan berkata setakat ini pelajar atau warga kerja yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan hanya akan dikenakan berbentuk pendidikan.

“Sekarang ini kita serahkan kepada unit perundangan sebab kita tak boleh menguatkuasakan dalam erti kata menangkap dan sebagainya. Tetapi, staf atau pelajar akan diberi surat tunjuk sebab oleh bahagian perundangan…bagi menunjukkan kami serius, hanya itu yang kita boleh buat setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Hilmi berkata 23.1 peratus atau 4.7 juta penduduk yang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok semasa berdasarkan tinjauan Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia pada 2011. — Bernama


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...